UMNO tak pernah jadi 'barua' sesiapa termasuk DAP - Shahaniza - Utusan Malaysia

UMNO tak pernah jadi ‘barua’ sesiapa termasuk DAP – Shahaniza

SHAHANIZA SHAMSUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: UMNO tidak pernah menjadi ‘barua’ mana-mana pihak walaupun parti itu bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, parti itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mewujudkan kestabilan kepada rakyat negara ini.

Atas sebab itu, beliau berkata, UMNO bersetuju membentuk kerajaan Perpaduan bersama lain-lain gabungan parti politik termasuk DAP.

“UMNO tak pernah jadi ‘barua’ sesiapa, okay itu kena faham. Apa yang berlaku sekarang ini, UMNO hanya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan kestabilan kepada rakyat negara ini, jadi kita membentuk kerajaan.

“Tapi kita bukan masuk DAP, kita tetap Barisan Nasional (BN), DAP tetap dalam Pakatan Harapan (PH), kita hanya bekerjasama antara BN dan PH. Tak ada cerita siapa hendak jadi barua sesiapa,” katanya dalam video di laman TikToknya di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan UMNO merupakan ‘barua’ DAP setelah bersama-sama dengan parti itu dalam kerajaan Perpaduan ketika ini.

Pada November tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan parti-parti politik mempertimbangkan pembentukan kerajaan perpaduan bagi memudahkan pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Titah Seri Paduka tersebut berdasarkan keadaan semasa ketika itu dengan tiada mana-mana parti politik memperoleh majoriti mudah untuk menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Shahaniza meminta pihak yang membuat tuduhan UMNO ‘barua’ DAP supaya memeriksa dahulu fakta sebelum berbuat demikian.

“Siapa yang ‘barua; siapa sebenarnya? Kalau hendak buat tuduhan, periksa dahulu faktanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya