KUALA LUMPUR: UMNO tetap perlu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang meskipun pimpinan sayap parti memegang jawatan tidak sampai tiga bulan.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, sayap berkenaan perlu menunjukkan kekuatan mereka pada PRN nanti kerana ia merupakan tugasan besar pertama yang akan dinilai keberhasilannya oleh UMNO serta parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Ini gerak kerja pertama kali dan anda diberikan task besar untuk menjaga wanita bawah 40 tahun dan anda baru pegang jawatan tidak sampai tiga bulan.
“Saya harapkan kerjasama dari semua, kerja elok-elok dan bawa kemenangan kepada parti UMNO,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan yang hadir di pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.
Dengan meletakkan fokus kepada orang muda, Nurul Amal mengingatkan Puteri UMNO agar tidak lari dari tumpuan yang sepatutnya dan memaksimumkan gerak kerja dalam aspek pendigitalan.
“Partikan program menarik minat orang muda. Fokus kita anak muda, jangan lari fokus. Sebagai persiapan menghadapi PRN, kepimpinan pusat, negeri dan bahagian perlu berkolaborasi dan mempersiapkan ahli puteri dalam pendigitalan gerak kerja.
“Ia sebagai transformasi yang sesuai dengan revolusi industri 4.0,” ujarnya lagi. -UTUSAN