PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) merupakan antara institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia yang berjaya menambah baik kedudukan tangga senarai global universiti dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2024.
Menurut senarai dikeluarkan, UM kembali menduduki tangga ke-65 terbaik dunia iaitu naik lima anak tangga berbanding tahun lalu.
Pencapaian itu sekali gus menunjukkan UM berada di kedudukan lima peratus teratas daripada 1,503 institusi yang disenaraikan QS dan kekal sebagai universiti terbaik dari 28 universiti Malaysia tersenarai serta ketiga di Asia Tenggara.
Ia menyaksikan UM mendahului 28 IPT di negara ini yang tersenarai dalam penarafan itu dengan 11 institusi merekodkan peningkatan prestasi manakala 12 lagi mencatatkan penurunan.
Dalam senarai itu, Universiti Sains Malaysia (USM) berada di kedudukan 137 berbanding 143 iaitu peningkatan tujuh tangga manakala Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melonjak dari 203 ke 188.
Lebih membanggakan dua IPT mencatatkan lonjakan drastik iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP) dari 361 ke 307 manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari 651 hingga 700 ke kedudukan 555.
Kedudukan Universiti Sunway turut mencatatkan peningkatan iaitu di kedudukan 586 berbanding 601 hingga 650 manakala Universiti Taylor’s pula mengekalkan kedudukannya di tangga ke-284 untuk dua tahun berturut-turut.
Selain itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Tunku Abdul Rahman yang berada di kedudukan antara 801 hingga 1,000 tahun lalu meningkat kepada 781 hingga 790 serta 801 hingga 850 manakala penampilan pertama Universiti Antarabangsa INTI dan Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (APU) berada di kedudukan 556 serta 621 hingga 630.
Antara indikator penilaian digunakan bagi menentukan markah ialah reputasi akademik dan majikan, selain nisbah pelajar fakulti.
Naib Presiden Kanan QS, Ben Sowter berkata, sektor pendidikan tinggi di Malaysia mempamerkan kepelbagaian dan pengantarabangsaan serta berjaya menarik bakat dari seluruh dunia.
Katanya, universiti negara ini menawarkan persekitaran pembelajaran rancak dan inklusif menerusi prestasi kukuh dalam nisbah pelajar antarabangsa dan fakulti serta kepelbagaian persatuan pelajar.
“Namun, cabaran adalah bagi merapatkan jurang akademik dan industri, berikutan negara berdepan halangan melahirkan graduan terus memiliki kerjaya. Tumpuan kepada pembelajaran pengalaman dan perkongsian global mampu menyelesaikannya.
“UM menyaksikan lonjakan pencapaian luar biasa merentasi portfolio Kedudukan QS, beberapa tahun ini dan kejatuhan keseluruhan yang sederhana dalam edisi ini tidak seharusnya menjejaskan kejayaannya yang banyak dan berterusan,” katanya dalam kenyataan.-UTUSAN