Tun M, Daim, Nor perlu jawab isu aset UMNO RM100 bilion didakwa lesap - Utusan Malaysia

Tun M, Daim, Nor perlu jawab isu aset UMNO RM100 bilion didakwa lesap

MUSTAPHA yaakub
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin serta Tan Sri Nor Mohamed Yakcop digesa menjelaskan  berhubung dakwaan aset UMNO sebanyak RM100 bilion lesap.

Ia susulan pendedahan Raja Petra Kamaruddin bahawa Dr. Mahathir, Daim dan Nor  ketika ini didakwa bertelagah berhubung isu kehilangan aset UMNO yang berjumlah sekitar RM100 bilion.

Menjelaskan perkara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, rakyat khususnya ahli UMNO berhak untuk mengetahui cerita sebenar berhubung pendedahan Raja Petra itu.

“Sudah pasti pendedahan Raja Petra itu sesuatu yang serius, perlu kepada penjelasan daripada tiga bekas pemimpin UMNO ini kerana isu ini berlaku ketika era Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

“Saya kira orang ramai khususnya ahli UMNO perlu diberi penjelasan oleh tiga bekas pemimpin ini. Bagi saya ini adalah sesuatu yang serius dan melibatkan dana yang besar.

“Walaupun pendedahan ini agak kontroversi, namun bagi saya tiga individu berkenaan perlu tampil menjelaskan kerana ia membabitkan kepentingan awam, apatah lagi jumlahnya yang begitu besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BERTELAGAH

Beberapa hari lalu, Raja Petra dalam satu klip video mendakwa Dr. Mahathir, Daim dan Nor kini sedang  bertelagah berhubung kehilangan aset UMNO yang bernilai kira-kira RM100 billion.

Dakwa Raja Petra, aset bernilai RM100 bilion itu termasuk dalam bentuk tunai kini didakwa hanya tinggal sekitar RM500 juta.

Jelas Raja Petra lagi, isu aset milik UMNO bukanlah rahsia, malah banyak buku telah mendedahkan mengenai aset serta pelaburan UMNO.

Apatah lagi dengan pendedahan  Tan Sri Halim Saad dalam suratnya kepada Dr. Mahathir berhubung aset dan pelaburan UMNO yang diurusnya sebelum ini.

Sementara itu, Mustapha berkata, pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patu menyiasat dakwaan aset UMNO tersebut kerana ia satu tuduhan yang serius.

“Saya kira ada baiknya jika pihak berkuasa turut menyiasat dakwaan ini. Jika benar ini bukan satu perkara biasa dengan jumlah  banyak,” katanya.

Tambah Mustapha lagi, isu aset UMNO telah menjadi rahsia umum dan perkara ini telah dibangkitkan ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan juga Presiden UMNO.

Namun Najib ketika itu baik hati tidak mahu membongkarnya atas nama kemanusiaan.

“Semasa Najib menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri ada usaha untuk membongkar rahsia di sebalik kehilangan harta UMNO itu, tetapi Najib tidak bersetuju atas dasar perikemanusiaan,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya