Tony Pua boleh masuk Gerakan, Bersatu sekiranya rindu jadi pembangkang - Utusan Malaysia

Tony Pua boleh masuk Gerakan, Bersatu sekiranya rindu jadi pembangkang

MOHD. HAIRI MAD SHAH (kiri) melihat produk madu lebah sempena Pelancaran Geran Pembangunan Koperasi Johor 2023 di Hotel Amansari, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dialu-alukan untuk menyertai mana-mana komponen parti dalam Perikatan Nasional (PN) sekiranya rindu menjadi pembangkang.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, bekas pemimpin DAP itu boleh berbuat demikian sekiranya mahu terus melemparkan komen negatif kepada rakan parti dalam kerajaan.

Justeru, beliau turut mendesak bekas Ahli Parlimen Damansara itu untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataannya menggelarkan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup’.

“Kenyataan Tony Pua itu menyebabkan ramai pihak berasa tidak senang, selepas ini sesiapa daripada 19 parti komponen kerajaan perpaduan perlu berhati-hati buat kenyataan yang boleh kucar-kacirkan perpaduan.

“Jangan lupa bahawa hari ini, BN dan UMNO menyokong Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan (PH). Jadi, semua pihak perlu ‘move on’ dan lupakan sejarah lalu.

“Kalau dia rindu jadi pembangkang, pergilah kepada pembangkang. Gerakan, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan PN masih kosong, dia boleh daftar ke sana untuk terus beri komen negatif kepada kerajaan atau komponen sendiri,” katanya diminta mengulas kenyataan Tony Pua yang menggelar BN sebagai ‘pakatan korup’, baru-baru ini.

Mohd. Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri berkata demikian dalam sidang akhbar Pelancaran Geran Pembangunan Koperasi Johor di Hotel Amansari, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Johor, Fadilah Salim.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin turut mengingatkan bahawa pembentukan kerajaan perpaduan hari ini sebagai bukti UMNO menghormati institusi diraja.

“Yang di-Pertuan Agong minta agar kita membentuk kerajaan perpaduan dan UMNO menghormati titah baginda, inilah kerajaan Persekutuan hari ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya