Tinggi mana kita, jangan lupa pijak tanah - Pesan arwah Rohana Jalil

Tinggi mana kita, jangan lupa pijak tanah – Pesan arwah Rohana Jalil

kilafairy menyiram air mawar di pusara ibunya, Rohana Jalil yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 di Subang Jaya semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: “Arwah selalu pesan, setinggi mana pun kita berada, jangan lupa berpijak ke tanah”

Itu antara pesanan ditinggalkan penyanyi terkenal era 80-an, Rohana Jalil, 68, yang menghembuskan nafas terakhir malam kelmarin akibat kebocoran usus.

Pesanan itu dikongsikan anaknya yang juga pelakon, Kilafairy usai majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam USJ22, dekat sini, semalam.

Kata Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisa Jahangir Khan, 31, dia reda dengan pemergian ibu dan gembira ke­rana berpeluang berada di samping penyanyi itu pada sisa-sisa terakhir usianya.

“Tentu sekali saya sedih dengan pemergiannya. Tetapi mengenangkan keadaan dia pada saat-saat terakhir, saya tahu dia pergi dengan tenang.

“Alhamdulillah, saya berpeluang berada di sampingnya dari awal sampai akhir. Sempat mandikan dia dan menemaninya sepanjang masa.

“Pengakhirannya indah. Saya tahu dia gembira dan itu buat saya tenang dan lega,” kongsi­nya.
Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil mening­gal dunia pukul 11.33 malam kelmarin di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penyanyi yang popular de­ngan lagu Rayuanku itu menghembuskan nafas terakhir di sisi suami dan anak-anak­nya.

Terdahulu, Allahyarham di­ke­jarkan ke hospital dan dima­sukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sekitar April lalu selepas mengalami kebocoran usus.

Kata Kilafairy, antara perkara yang akan dirindukan tentang arwah adalah masakan-masakannya yang enak seperti laksa Johor dan lontong.

“Selain itu, arwah juga seorang yang suka bergurau senda. Itu antara yang akan paling saya rindukan tentangnya,” kongsinya lagi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya