PETALING JAYA: Tindakan tiga sekawan disyaki menyamun penjual telefon bimbit dengan pistol tiruan mengundang padah apabila ditahan polis dalam dua serbuan di Selangor dan Johor, semalam.
Kejadian dikatakan berlaku pada 11.26 malam, Selasa lalu di Kampung Bharu dekat sini apabila mangsa berusia 25 tahun bertemu seorang daripada suspek.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada 4.45 pagi, kelmarin.
Katanya, mangsa berurusan dengan suspek terbabit menerusi platform media sosial membabitkan pembelian dua telefon jenis Samsung Galaxy S22 dan iPhone 12 Pro Max.
“Ketika pertemuan itu, suspek meminta mangsa menyerahkan telefon bimbit berkenaan kononnya untuk dilihat terlebih dahulu, namun, terus dimasukkan ke dalam poket.
“Mangsa yang terkejut cuba meminta bayaran seperti dijanjikan bagi kedua-dua telefon pintar berkenaan berjumlah hampir RM6,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.
Tambahnya, suspek kemudian mengacukan pistol tiruan ke arah mangsa dan dua rakannya sebelum melarikan diri ke arah sebuah motosikal yang menunggu berhampiran.
“Bertindak atas maklumat, polis mengesan suspek pertama menerusi nombor telefon yang digunakan untuk berurusan dengan mangsa berikutan didaftarkan atas kad pengenalannya sendiri.
“Serbuan pertama di sekitar Hulu Langat berjaya menahan dua suspek manakala seorang lagi suspek ditahan di sekitar Skudai, Johor semasa bersembunyi di rumah ibu saudaranya,” katanya.
Menurut Noor Dellhan, hasil soal siasat mendapati suspek pertama membeli kad sim untuk menghubungi mangsa manakala suspek kedua bertindak mengatur pertemuan dalam talian dan suspek ketiga berjumpa mangsa di lokasi kejadian.
Jelas beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian sama ada telefon bimbit berkenaan untuk dijual semula atau kegunaan sendiri.
Ujarnya, motosikal digunakan mereka untuk melarikan diri didaftarkan di bawah nama ibu kepada suspek ketiga.
“Semakan terhadap suspek yang berusia lingkungan 24 hingga 26 tahun itu mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan kesalahan dadah.
“Dua suspek bekerja sebagai penghantar makanan dan pekerja restoran makanan segera manakala seorang lagi penganggur,” katanya.
Kesemua suspek direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen395 Kanun Keseksaan.-UTUSAN