Terpaksa angkut getah beku 10 kilometer demi RM50 sehari

Terpaksa angkut getah beku 10 kilometer demi RM50 sehari

LUB Hassan mengutip getah beku untuk dijual ke pusat pembelian sejauh 10 kilometer berdekatan Kampung Cengkuak, Damak di Jerantut, Pahang. - GAMBAR HIASAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penoreh getah yang juga warga emas Kampung Cengkuak, Damak, Lub Hassan, 66, terpaksa mengangkut getah beku atau sekerap sejauh 10 kilometer ke tempat jualan demi memperoleh pendapatan harian RM50 walaupun ia tidak mencukupi untuk perbelanjaan barangan keperluan keluarga ekoran harga komoditi itu masih rendah.

Dia dan juga kira-kira 100 pekebun getah Kampung Cengkuak, Kampung Som, Kampung Batu Balai dan beberapa buah penempatan penduduk di kawasan Damak di sini meminta kerajaan segera menaikkan harga getah melebihi paras RM3.50 sekilogram bagi meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Lub menjelaskan harga getah RM2.50 sekilogram di pasaran ketika ini masih tidak mengubah tekanan perbelanjaan harian mereka ekoran kenaikan harga barang di tambah keadaan cuaca panas yang menjejaskan pengeluaran susu getah.

“Saya terpaksa mengangkut getah buku ke tempat jualan kira-kira 10 kilometer sehari yang cuma memperoleh antara RM50 hingga RM60 sehari bagi getah seberat 20 hingga 25 kilogram. Anggaran sebulan saya memperoleh pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,300 untuk tempoh antara 18 hingga 20 hari bekerja.

“Dalam usia tua yang kudrat terbatas saya gagahi menunggang motosikal ke kebun menoreh getah manakala siap kerja lalu memunggah getah buku untuk menampung belanja keperluan dapur, persekolahan dan perubatan,” katanya di Kampung Cengkuak di sini semalam.

Menurut Lub, hasil torehan di kebun sendiri seluas 1.6 hektar yang diperoleh setiap hari tidaklah seberapa kerana keadaan cuaca panas memberi kesan kekurangan susu getah di tambah pula dengan harga yang rendah menyebabkan ramai penoreh masih tertekan.

Katanya, keadaan pokok getah yang sudah tua melebihi usia 30 tahun dan tinggi terpaksa menggunakan kayu panjang yang dipasang pisau torehan di batang pokok untuk memperoleh susu tetapi hasilnya tidak seberapa.

“Semalam, saya cuma memperoleh RM49 apabila menjual getah beku seberat 20 kilogram dengan harga RM2.45 sekilogram berikutan susu getah semakin kurang akibat cuaca panas.

“Walaupun begitu, saya bersyukur dengan rezeki yang diperoleh, tetapi tetap berdepan kesusahan untuk perbelanjaan keluarga jika harga getah masih rendah,” katanya.

Warga emas yang mempunyai lapan orang anak yang berusia 11 hingga 34 tahun itu juga tidak bersetuju bagi kerajaan menukar kaedah penghasilan getah beku atau sekerap kepada getah cair (lateks).

Katanya, kaedah penghasilan itu kemungkinan sesuai bagi kebun yang luas atau dikenali estet, tetapi bagi pekebun kecil lebih berminat kepada tradisi lama menghasilkan getah beku atau sekerap kerana pengurusan yang mudah untuk pasaran.

Seorang pagi penoreh, Mohd. Rozi Sood, 65, berkata, penghasilan getah beku di pot (bekas) lebih sesuai bagi pekebun kecil malah lebih mudah dibawa ke tempat jualan.

“Bagi pekebun di pedalaman dan kampung jauh dengan bandar kaedah ini tidak sesuai malah melibatkan perbelanjaan lebih tinggi mengangkut susu (lateks) ke tempat jualan yang agak jauh di samping aspek keselamatan susu berkenaan.

“Apapun kerajaan perlu menaikkan harga getah buku atau sekerap antara RM3.50 hingga RM4 memadai untuk meringankan beban perbelanjaan penoreh yang memiliki kurang daripada dua hektar,” katanya.

Ujarnya, penoreh getah dalam kalangan pekebun kecil masih tidak bersedia dengan kaedah penghasilan getah cair (lateks) cuma mengharapkan harga getah beku dinaikkan kepada kadar yang mereka kehendaki sebagai asas jaminan pendapatan yang mampu menarik nafas sedikit kelegaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya