KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat perkhidmatan media memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menerima hampir RM23 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sebagai upah menulis ucapan dalam bahasa Inggeris.
Datuk Mohd. Omar Mustapha daripada syarikat Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd. menyatakan, pelantikan syarikat itu dalam penyediaan ucapan tersebut tidak pernah dibuat secara rasmi (tiada dokumen pelantikan), sebaliknya pelantikan dibuat secara lisan.
Selain itu, Mohd. Omar yang juga bekas pegawai khas utama Najib sewaktu bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, pembayaran bagi perkhidmatan yang diberikan dibuat secara bulanan melalui cek yang ditandatangani sendiri oleh Najib di hadapannya.
Bayaran bulanan perkhidmatan itu membabitkan jumlah sebanyak enam digit.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada cek tersebut dari akaun peribadi bekas Presiden UMNO itu atau sebaliknya.
“Syarikat Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd. menyediakan perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris kepada Datuk Seri Mohd Najib antara Mac 2011 hingga April 2014.
“Sepanjang tempoh tersebut, saya ada menerima pembayaran daripada Datuk Seri Mohd. Najib sebanyak RM22,981,688.00 melalui 39 keping cek antara 3 Mac 2011 hingga 23 April 2014 yang mana kesemuanya atas perkhidmatan yang diberikan.
“Saya menerima terus daripada Datuk Seri Najib. Cek yang diterima adalah jenis ‘unnamed cheque’ (tiada nama pembayar), cuma ada nombor rujukan akaun. Tetapi cek-cek itu ditandatangani oleh Datuk Seri Najib sendiri di hadapan saya,” katanya.
Tambahnya, bukan urusannya untuk mengenal pasti siapa pemilik akaun tersebut, tetapi, Mohd. Omar memaklumkan tanggapannya pada ketika itu ialah Najib merupakan penandatangan (signatory) bagi akaun tersebut.
Saksi pendakwaan ke-45 itu berkata demikian dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.
Terdahulu, dalam pernyataan saksinya, Mohd. Omar berkata, beliau berjumpa dengan Najib di pejabat Perdana Menteri pada Mac 2011 untuk menawarkan perkhidmatan pasukan media antarabangsa dan penulis ucapan bahasa Inggeris kepadanya.
Ujarnya, beliau menawarkan perkhidmatan tersebut selepas timbul isu perkhidmatan oleh syarikat perhubungan awam (PR), APCO Worldwide kepada kerajaan Malaysia yang mana pada tahun 2010 pihak kerajaan membayar kepada APCO sebanyak RM76.8 juta setahun.
“Pembayaran ini dibuat oleh pihak kerajaan atas perkhidmatan PR Antarabangsa yang diberikan oleh APCO antara Julai 2009 hingga Jun 2010.
“Pembayaran ini menjadi isu yang ditimbulkan oleh pihak pembangkang dalam Parlimen dan sehubungan itu saya difahamkan kontrak antara APCO dan kerajaan selepas itu tidak disambung. Ekoran daripada isu tersebut, saya melihat terdapat peluang perniagaan di situ,” katanya.
Katanya, dalam pertemuannya dengan Najib, Mohd. Omar menawarkan perkhidmatan ini secara kos dahulu (reimburse) yang mana setiap bulan saya akan mengemukakan tuntutan (claim) kos kepadanya untuk dibayar.
“Pada masa itu juga Datuk Seri Mohd Najib bersetuju dengan cadangan perkhidmatan tersebut. Saya tidak meminta sebarang kontrak ditandatangani untuk perkhidmatan ini dan Datuk Seri Mohd. Najib juga tiada minta sebarang kontrak daripada saya.
“Urusan ini hanyalah melibatkan perjanjian lisan sahaja memandangkan isu ini kemungkinan besar boleh dipolitikkan,”kata Mohd. Omar. -UTUSAN