KANGAR: Minat yang mendalam sejak kecil mendorong seorang gadis menceburi bidang seni pembuatan tembikar dan seramik yang kini mendapat sambutan cukup memberangsangkan daripada peminat seni kraf tersebut seluruh negara.
Nur Syazwani Izyan Jefridin, 31, mengusahakan bengkel pembuatan tersebut di Kota Bharu, Kelantan sejak tahun 2010 dan menghasilkan kira-kira 100 jenis tembikar dengan pelbagai model terkini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik Belipot Craft Ceramic itu berkata, dia meminati seni pembuatan tembikar sejak kecil selepas melihat ayah nya yang terlibat dalam kerja-kerja pembuatan kraf berkenaan.
Katanya, meskipun belajar dalam bidang pengajian lain semasa menuntut di institut pengajian tinggi (IPT), namun, itu tidak menghalangnya meneruskan bidang berkenaan.
“Pembuatan tembikar ini memerlukan kemahiran, minat, kesabaran bagi menghasilkan tembikar yang sempurna,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tambahnya, kraf tersebut dijual secara dalam talian dengan harga bermula serendah RM3 sehingga ratusan ringgit bagi tembikar yang bersaiz lebih besar.
Katanya, sehari dia mampu menjual kira-kira 25 biji tembikar dan pelanggannya berada dari seluruh negara.
“Pelbagai jenis model tembikar dibuat termasuk produk-produk interaktif yang mampu menarik minat para pelanggan,” katanya.
Tambah anak sulung dari empat beradik itu, kaedah bagi menghasilkan tembikar tersebut memerlukan beberapa proses.
Katanya, ia bermula dengan mengukir model bentuk, proses acuan merangkumi empat peringkat dan putaran menggunakan mesin.-UTUSAN