Tasik Bukit Merah mulai kering akibat cuaca panas

Tasik Bukit Merah mulai kering akibat cuaca panas

KEADAAN Tasik Kolam Bukit Merah yang surut berikutan cuaca panas sehingga menampakkan tunggal kayu di dasarnya ketika tinjauan di Bagan Serai. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Paras air di Tasik Kolam Bukit Merah di sini yang menjadi sumber utama air untuk kegunaan domestik dan pertanian terutama sawah padi di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping didapati surut berikutan cuaca panas.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati paras air tasik itu kini surut sehingga menampakkan tunggul-tunggul kayu di dasarnya, malah, dikatakan kawasan yang kering sehingga sejauh lebih 700 meter daripada pelantar nelayan darat di Kampung Selamat di sini.

Keadaan itu membimbangkan pesawah di Kerian, kemungkinan keadaan itu menjejaskan pengairan di sawah mereka, seperti yang pernah berlaku pada Jun tahun lalu apabila tasik itu surut hingga paras kritikal.

Seorang penduduk, Mohd Zainal Ramle, 39, berkata, penyusutan air di tasik itu semakin ketara sejak dua hari lalu berikutan cuaca panas.

Katanya, penyusutan air di tasik itu memang sudah berlaku sejak beberapa minggu lalu dan keadaannya semakin ketara dua hari lalu.

“Keadaan ini disebabkan cuaca panas berterusan, memang ada hujan lebat pada Jumaat lalu di kawasan tasik ini namun kadar hujan yang turun masih belum cukup untuk menampung air di dalam kawasan tadahan ini untuk berada pada paras normal,” katanya.

Menurutnya, penyusutan paras air yang berlaku pada masa ini sedikit sebanyak menyukarkan nelayan darat keluar mencari rezeki di tasik itu.

Katanya, selain air yang surut, sukar untuk nelayan ke tengah tasik kerana tunggul kayu di dasar kolam menyukarkan mereka untuk menaiki bot.

“Saya harap penyusutan air ini tidak sampai ke paras kritikal hingga menyebabkan air ditutup untuk pengairan sawah padi seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Seorang pesawah, Mohd Zahid Samad,46, berkata, dia amat bimbang sekiranya paras air kolam Tasik Bukit Merah terus menyusut ke paras paling kritikal menyebabkan bekalan air untuk sawah padi terjejas.

“Anak padi baru mencapai usia tiga minggu, sekiranya paras air terus menurun sudah tentu menjejaskan bekalan air ke sawah.

“Apa yang berlaku tahun lalu apabila paras air di tasik ini berada pada paras kritikal, diharap tidak berlaku pada tahun ini,” katanya.

Pada Jun lalu, akhbar ini menyiarkan laporan mengenai air Tasik Bukit Merah di sini mengalami surut yang paling teruk pernah berlaku akibat cuaca panas.

Keadaan itu membimbangkan kerana air tasik itu merupakan sumber kegunaan pertanian terutama sawah padi di Kerian, pengguna domestik dan perindustrian termasuk kegunaan perindustrian di Taiping.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya