SHAH ALAM: Pelakon, Muhammad Hafidz Roshdi mendedahkan isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri sudah lama memintanya untuk bercerai.
Menurut Hafidz Roshdi, sudah banyak sesi pendamaian dan dialog yang sudah dijalankan sebelum ini, namun Nurul Shuhada tetap dengan pendiriannya itu.
“Nurul Shuhada minta diceraikan sudah lama sebenarnya dan hari ini, kehendaknya sudah dituruti.
Mahkamah sudah dengar dan akan putuskan mengikut undang-undang, jadi saya serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya selepas selesai sesi pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini.
Menjawab dakwaan Hafidz Roshdi itu, Nurul Shuhada mengesahkan bahawa dia ada meminta suaminya bercerai sebelum ini atas sebab rasa sudah tidak bahagia.
Menurutnya, dia tidak akan meminta cerai sekiranya suaminya itu memberikan kasih sayang kepadanya.
“Punca itu daripada dirinya sendiri dan dia (Hafidz Roshdi) mengaku akan buat pengumuman mengenai Athirah,” katanya.
Ditanya mengenai prosiding hari ini, Nurul Shuhada bersyukur sesi hari ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Menurutnya, dia bersedia dengan sebarang keputusan yang akan dikeluarkan oleh mahkamah pada 27 Julai, iaitu keputusan lafaz cerai perkahwinan mereka. – UTUSAN