Stesen Keretapi Seremban dibangunkan jadi terminal pengangkutan awam bersepadu - Utusan Malaysia

Stesen Keretapi Seremban dibangunkan jadi terminal pengangkutan awam bersepadu

STESEN Keretapi Seremban yang terletak berhampiran dengan pembangunan Residensi Seremban Sentral akan dibangunkan semula sebagai sebuah terminal pengangkutan awam bersepadu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan akan membangunkan semula Stesen Keretapi Seremban di sini sebagai sebuah terminal pengangkutan awam bersepadu.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berfasa yang akan dibangunkan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu adalah selari dengan konsep pembangunan Residensi Seremban Sentral berhampiran yang telah pun disiapkan.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, ketika ini projek membaik pulih bangunan Stesen Keretapi Seremban yang bernilai RM8.3 juta sedang dijalankan melibatkan penaiktarafan parkir dan dijangka siap pada bulan Januari 2025.

“Kami memang telah minta RAC untuk segera laksanakan menaik taraf Stesen Keretapi Seremban, ia tidak cukup untuk menampung permintaan dan juga kegunaan warga Seremban terutama apabila Residensi Seremban Sentral siap.

“Konsep asalnya dari Residensi Seremban Sentral ia mesti bersambung dengan stesen keretapi, maksudnya berjalan kaki juga boleh jadi ini kami akan laksanakan, integrasi itu perlu ada, sekarang belum ada laluan pejalan kaki ke stesen.

“Akan ada kemudahan dan bangunan baharu yang akan ditambah di Stesen Keretapi Seremban, RAC sedang lihat beberapa rancangan bagaimana ia akan dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Kunci Residensi Seremban Sentral di sini hari ini.

ANTHONY Loke Siew Fook dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Seremban Sentral di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Siew Fook dalam pada itu berkata, pembangunan semula Stesen Keretapi Seremban itu nanti tidak akan menjejaskan bahagian bangunan itu yang mempunyai nilai warisan dan sejarah.

“Fakad (muka bangunan) stesen tidak akan disentuh, struktur hadapan adalah warisan, ia kekal dengan nilai sejarahnya, tidak akan sentuh fakad tersebut, hanya akan bangunkan di bahagian belakang,” katanya lagi.

Sementara itu, katanya, projek pembangunan semula Stesen Keretapi Seremban itu nanti pastinya akan menyokong pembangunan Seremban Sentral yang bermatlamat untuk menerapkan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).

“Residensi Seremban Sentral merupakan fasa pertama manakala fasa kedua akan mengandungi pembangunan bercampur. 

“Konsep TOD yang bakal dibangunkan di kawasan ini akan menghimpunkan komponen-komponen seperti blok-blok  kediaman termasuk rumah mampu milik, pejabat, hotel, institusi, hab pengangkutan awam.

“Ia memandangkan Stesen Keretapi Seremban telah menjadi lokasi utama untuk orang ramai mengakses kepada pengangkutan awam, kemudahan dan infrastruktur lain yang akan dimuktamadkan kelak,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya