SPM: Kekurangan diri tidak halang Wei Qian peroleh 7A - Utusan Malaysia

SPM: Kekurangan diri tidak halang Wei Qian peroleh 7A

KHOR Wei Qian (kiri) bersama ibu dan bapanya selepas mendapat keputusan cemerlang 7A dalam SPM 2022 ketika ditemui di Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) menganggap kekurangan diri bukanlah satu penghalang untuk dirinya berjaya sehingga memperoleh keputusan cemerlang 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Khor Wei Qian, 18 yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chan Wa II, Seremban itu antara empat pelajar istimewa yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Dia yang merupakan OKU masalah pembelajaran, mengakui sukar untuk fokus dalam setiap mata pelajaran dan perlu berusaha bersungguh-sungguh supaya tidak ketinggalan.

“Saya juga mempunyai seorang abang OKU dan dia turut membantu saya mengulang kaji pelajaran walaupun masing-masing mempunyai kekangan.

“Kejayaan saya hari ini kerana ibu dan bapa yang sanggup menghantar saya ke kelas tuisyen dan saya telah berjanji supaya usaha mereka itu tidak sia-sia,” katanya.

Dia ditemui pemberita selepas pengumuman pelajar cemerlang sempena pengumuman keputusan SPM 2022 Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurutnya, ibunya, Lee Beng Eng, 48, menghidap kanser payu dara sejak lima tahun lalu manakala bapanya, Khor Kook Eng, 55 yang juga bekas jurutera turut berdepan dengan masalah kesihatan.

“Saya mahu mereka gembira dengan pencapaian saya walaupun saya akui keputusan ini tidaklah sehebat orang lain, tetapi ini adalah hadiah buat mereka,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang pendidik.

Selain Wei Qian, terdapat tiga lagi pelajar cemerlang OKU di Negeri Sembilan iaitu Nazim Azman yang mendapat 11 A (Kolej Genius Insan, USIM), Muhammad Aiman Zakwan Ab Samad, 7A (SMK King George V), masing-masing merupakan masalah pembelajaran.

Pelajar OKU pendengaran, dari SMK Kompleks KLIA, Nur Farihah Aqilah Farizan pula mendapat keputusan 5A.

Sementara itu, Nazim Azman yang mengalami sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) memberitahu, bahawa dia sering mengamalkan bacaan al-Quran setiap hari sebelum memulakan sesi pembelajaran.

“Alhamdullilah hari ini saya tidak menjangkakan akan mendapat 11A namun yakin dengan usaha saya termasuk guru dan rakan-rakan saya berjaya memperoleh keputusan cemerlang ini.

“Di Kolej Genius Insan, kami mengamalkan membaca al-Quran dan setiap malam kami mengaji dan ini mungkin faktor mendapat keputusan yang baik pada hari ini,” katanya yang bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera perisian.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya