KOTA TINGGI: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Johor menyasarkan untuk mencapai perolehan sebanyak RM1 bilion dalam tempoh beberapa tahun lagi selepas usaha itu ‘tergendala’ ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.
Pengarahnya, Fadilah Salim berkata, sebanyak RM714 juta perolehan berjaya dicatatkan pada tahun lalu, sekali gus menjadikannya pencapaian yang baik dan tahun ini jumlah itu dijangka meningkat sehingga RM800 juta.
“Sebelum ini kita pernah merancang sehingga tahun 2021 kita jangka perolehan koperasi Johor mencapai RM1 bilion dan pada 2020, kita sudah hampir mencapainya dengan perolehan RM974 juta.
“Tetapi selepas Covid-19, perolehan telah turun menjadi RM677 juta, sebelum ia naik semula kepada RM714 pada tahun lepas,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Ramah Mesra SKM Bersama Kelab Media Johor (KMJ) di Bayu Balau Beach Resort, dekat sini.
Fadilah berkata, sektor perkhidmatan kewangan termasuk aktiviti kredit, pinjaman dan Ar Rahnu adalah antara sektor yang menyumbang perolehan terbesar.
Katanya, secara keseluruhan terdapat 1,426 koperasi di negeri itu dengan enam sektor menjadi fokus utama, iaitu perkhidmatan kewangan, perladangan, pertanian, kesihatan, pelancongan dan hartanah.
“Kita dapati pada ketika ini antara sektor yang berpotensi besar untuk dikembangkan adalah sektor pelancongan dan pertanian.
“Seperti pertanian, ia merupakan antara bidang yang sedang kerajaan cuba untuk rancakkan kerana melibatkan isu sekuriti makanan dan sebagainya. Jadi, ini antara sektor yang berpotensi besar untuk dikembangkan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadilah mengakui pengamal media memainkan peranan besar dalam meuar-uarkan kejayaan koperasi, sekali gus membantu menarik minat lebih ramai pihak terlibat dalam koperasi.
“Kita berharap agar kerjasama antara SKM dan pengamal media terus dipererat bagi memastikan pelbagai inisiatif dan kejayaan-kejayaan dapat kongsikan kepada umum,” katanya. – UTUSAN