JOHOR BAHRU: Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang baharu, Siti Rohani Nadir bertekad menyelesaikan isu kekurangan pegawai dan anggota jabatan itu di negeri ini.
Beliau yang memulakan tugas itu secara rasmi hari ini turut mahu mengatasi isu kekurangan sebanyak 54 buah jentera pemadam kebakaran di 33 buah balai.
“Isu kekurangan anggota, kita faham ia tidak dapat diatasi dalam masa singkat dan perlukan perancangan rapi melibatkan bomba ibu pejabat, namun saya berharap isu itu dapat diatasi secara berperingkat-peringkat.
“Difahamkan, akan ada pengambilan baharu pada hujung tahun ini tetapi berapa ramai jumlahnya itu bergantung kepada pusat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Ketibaan Pengarah JBPM Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri, Timbalannya, Mohd. Rizal Buang.
Siti Rohani mengakui isu kekurangan pegawai dan anggota akan memberi cabaran bagi jabatan itu, namun dalam masa sama pihaknya sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang situasi.
“Isu kekurangan jentera juga perlu diberi perhatian dan perkara itu dalam makluman kerajaan. Saya juga berharap jentera sedia ada berada dalam keadaan baik khususnya melibatkan aspek penyelenggaraan,” katanya.
Beliau yang berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat merupakan wanita kedua dalam sejarah negara yang menjawat jawatan Pengarah bomba dan penyelamat negeri dan yang pertama di negeri ini.
“Saya telah berkhidmat sebagai anggota bomba selama 26 tahun bermula 1997 dan ini merupakan kali pertama saya berkhidmat di negeri kelahiran. Cabarannya besar kerananya daripada segi statistik operasi, Johor adalah kedua tertinggi selepas Selangor, namun saya sedia sahut cabaran dan akan laksanakan tanggungjawab sebaiknya dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Perkara dasar dan aktiviti positif terdahulu akan diterus dan ditambah baik, manakala beberapa inisiatif baharu juga akan dilaksanakan demi kesejahteraan penduduk negeri ini,” jelasnya yang sebelum ini berkhidmat di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. – UTUSAN