PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) hari ini mempertahankan pemakaian jururawat wanita di sektor awam yang mematuhi etika berpakaian penjawat awam.
Presidennya, Dr. Muruga Raj Rajathurai berkata, MMA percaya pakaian seragam jururawat Kementerian Kesihatan ketika ini adalah praktikal kerana ia dilihat tidak menyekat pergerakan semasa menjalankan tugas mereka.
Jelas beliau, ini kerana semua orang perlu bergerak pantas dalam sektor penjagaan kesihatan.
“(Oleh itu), adalah menyedihkan apabila di tengah-tengah kebimbangan seluruh negara terhadap masa depan dan kemapanan sistem penjagaan kesihatan kita, seorang Ahli Parlimen lebih mengambil berat tentang kod pakaian jururawat,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah.
Ketika membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, beliau mendakwa, kebanyakan jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat hingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam.-UTUSAN