Selesaikan isu warganegara, jangan bebankan anak jika ibu bapa tak daftar kahwin - Utusan Malaysia

Selesaikan isu warganegara, jangan bebankan anak jika ibu bapa tak daftar kahwin

Sebahagian individu tanpa warganegara dan ahli keluarga hadir pada majlis penyerahan memorandum menangani isu kewarganegaraan di Kelab PJ, Petaling Jaya hari ini. - Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Takrifan untuk menganugerahkan taraf kewargnegaraan individu yang dilahirkan di Malaysia perlu diubah bagi mengatasi masalan penduduk tanpa warganegara di negara ini.

Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong berkata, perkara itu perlu dilakukan segera kerana jika perkara tersebut tidak diselesaikan individu tanpa warganegara akan bertambah ramai di negara ini.

“Perlembagaan yang membabitkan pengiktirafan kewarganegaraan yang dipraktikkan ketika ini tidak relevan lagi susulan kehidupan sekarang sudah berubah.

“Selain itu, terdapat tafsiran dalam undang-undang membabitkan kewarganegaraan tidak adil, contoh kenapa wanita Malaysia melahirkan anak di Malaysia, anak itu boleh diberi taraf kewarganegaraan secara automatik.

“Sedangkan perkara sebaliknya jika, anak itu adalah anak kepada lelaki Malaysia tetapi tidak berdaftar perkahwinannya dengan wanita warga asing, anak itu tidak diiktiraf sebagai warganegara,” kata beliau ketika berucap dan sidang akhbar di majlis penyerahan memorandum Stateless Malaysians Citizenship Movement (SMCM) di sini semalam.

SMCM menyerahkan memorandum tersebut kepada Choo Seong yang mewakili kerajaan perpaduan. Turut hadir pada majlis itu kira-kira 100 individu tanpa warganegara bersama ahli keluarga masing-masing.

Justeru, menurut beliau, isu kewarganegaraan yang dihadapi ketika ini banyak yang berpunca daripada masalah undang-undang dalam Perlembagaaan yang tidak praktikal.

ISU

Choo Seong berkata, beliau mewakili kerajaan akan berusaha mengetengahkan isu rakyat tanpa kewarganegaraan kepada kerajaan.

“Kerajaan juga bakal berdepan pelbagai masalah apabila kanak-kanak ini tidak dapat menerima pendidikan dan penjagaan kesihatan yang sama seperti orang lain.

“Kita nak tekankan, setiap tahun Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terpaksa proses sebanyak 10,000 sehingga sejuta kes anak tidak sah taraf.

“Ini satu bebanan kerajaan. Menteri tidak dapat duduk setiap hari di pejabat hanya untuk menandatangani dan memperhalusi dokumen untuk kewarganegaraan.

“Jadi, kenapa tidak kita melihat dari aspek penggubalan undang-undang dengan meminda Perlembagaan untuk memudahkan mereka menerima hak kerakyatan sama seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi soal jawab berkaitan isu kewarganegaraan, seorang wanita yang dikenali sebagai Sandra mencadangkan Kementerian Pendidikan memasukkan satu bahagian dalam silibus di sekolah untuk memberi kesedaran kepada generasi akan datang berhubung masalah kewarganegaraan.

“Isu kewarganegaraan ini berlaku kerana kita tidak tahu puncanya apa. Jika perkara asas tidak diselesaikan Menteri di Kementerian Dalam Negeri tidak akan mampu menyelesaikan isu kewarganegaraan sampai bila-bila.

“Seperti dijanjikan tahun ini, selesaikan 10,000 permohonan kewarganegaraan tetapi tahun seterusnya perkara sama menteri terpaksa selesaikan,” kata Sandra.

Seorang gadis, dikenali sebagai Yuyu, 27, pula berkata, dia tidak wajar menanggung beban tidak diberi kewarganegaraan apabila ibunya wanita warga asing dan bapanya seorang penjawat awam warga Malaysia tidak mendaftar perkahwinan mereka.

Menurut Yuyu, dia tidak tahu apa penghujung nasibnya selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) beberapa kali menolak untuk dirinya memohon kewarganegaraan dengan alasan `tidak layak’.

“Saya semakin tua tetapi isu kewarganegaraan menghantui sehingga kini. Saya sangat berharap akan ada penyelesaian bukan sahaja untuk saya tetapi anak-anak kecil lain dan rakan-rakan sebaya saya yang tidak memahami kenapa kami tidak diikraf sebagai rakyat Malaysia,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya