KANGAR: Sebuah kapal layar mewah yang melalui celah-celah laluan di perkampungan nelayan Kuala Perlis sebelum meninggalkan perairan di negeri ini menarik perhatian penduduk sekitar.
Kapal mewah Adastra itu dianggarkan bernilai RM45 juta milik taikun Hong Kong berkenaan tiba di Perlis untuk proses penyelenggaraan dan penambahbaikan dalaman.
Kerja-kerja pembaikan itu memakan masa 10 bulan yang dikendalikan AUE Marin iaitu anak syarikat AUE Construction Sdn. Bhd (AUE) di Perlis Marine Engineering (PME) di sini dimiliki anak jati negeri ini.
Keunikan kapal mahal tersebut menyebabkan orang ramai menunggu di Jambatan Tuanku Syed Syed Putra untuk melihat dan merakam gambar kapal tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemilik syarikat berkenaan, Muhammad Amin Hazwan Abdul Hamid berkata, kapal itu akan berlatar ke Langkawi sebelum berlepas ke Singapura dan seterusnya Bali, Indonesia.
Menurut beliau, kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan dalaman itu memakan masa kira-kira 10 bulan dengan beliau bekerjasama dengan pasukannya terdiri daripada empat orang ‘specialist painter’ dari Italy bagi melakukan kerja-kerja mengecat kapal mewah berkenaan.
Selain itu, kata beliau, mereka juga dibantu pasukan untuk scaff loading dari Pulau Langkawi.
“Antaranya kita melakukan kerja-kerja mengecat, hiasan dalaman selain baik pulih sistem kalis bunyi dan penyelenggaraan lain,” katanya.
Kehadiran kapal layar Adastra yang berlabuh di Kuala Perlis sebelum ini pernah tular di media sosial.
Kapal tersebut tiba di negeri pada Ogos tahun lalu dan secara tidak langsung menggamit perhatian terutama nelayan dan penduduk setempat yang memaklumkan pertama kali melihat kapal mempunyai reka bentuk unik berkenaan.
Difahamkan, reka bentuk kapal layar yang elegan itu pernah memenangi Anugerah Dunia Superyacht 2013 dan dianggarkan bernilai AS$10 juta atau RM45 juta.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, meskipun usia Muhammad Amin baharu menjengah 25 tahun, namun tidak menghalang seorang anak muda bagi merealisasikan cita-citanya dalam dunia marin khususnya berkaitan kapal mewah.
Berkat kemahuan dan usaha, Muhammad Amin menubuhkan syarikat AUE Marin sejak awal tahun ini bagi menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dan penambahbaikan dalaman kapal mewah sekali gus menjadi individu pertama di Perlis yang menawarkan perkhidmatan seperti itu.
Tambah Muhammad Amin, antara cabaran dalam menyiapkan kerja-kerja tersebut antaranya adalah faktor cuaca yang tidak menentu di negeri ini.-UTUSAN