GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli daripada 10 kampung di Pos Hau di sini merayu pihak kerajaan segera menaik taraf jalan perhubungan kampung mereka.
Sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga kini, Orang Asli berdepan masalah kerosakan jalan balak yang teruk sehingga menjejaskan aktiviti dan kehidupan harian mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Hau, Jumaat Arong berkata, sudah lama mereka menanti pihak kerajaan membina jalan yang selesa bagi kemudahan untuk melakukan urusan di bandar Gua Musang.
Katanya, penduduk Orang Asli berharap pihak kerajaan dapat memenuhi hasrat mereka sejak sekian lama yang sering bergadai nyawa melalui jalan yang rosak dan tidak berturap.
“Sampai ke hari ini masalah jalan perhubungan tidak berkesudahan apabila usaha menaik taraf jalan masih tidak dilakukan.
“Jarak Pos Hau ke Gua Musang lebih 100 kilometer. Kalau menggunakan motosikal kami perlu melalui jalan berbatu dan ladang untuk sampai ke kampung selama empat jam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi penduduk Razali Ayeh, 48, berkata, dia mula masuk dan tinggal di kampung ini sejak tahun 1993, namun keadaan masih lagi sama.
Katanya, mereka sangat berharap agar pihak kerajaan dapat membantu membaik pulih jalan perhubungan.
“Kami sebagai ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak yang ingin ke sekolah dan berharap agar projek naik taraf jalan dapat dijalankan.
“Jalan itu menjadi jalan utama bagi kami penduduk di Pos Hau yang membabitkan beberapa kampung antaranya Kampung Redip, Kampung Galang dan Kampung Ladoi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, sebelum ini permohonan telah dilakukan dan berharap pihak kerajaan akan mengusahakan projek naik taraf jalan secepat mungkin untuk kemudahan penduduk.
Katanya, dia juga berharap projek naik taraf jalan perhubungan desa dapat dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebelum Pilihan Raya Negeri.-UTUSAN