Sasar sehingga 40 penderma darah daripada 1,000 penduduk - Utusan Malaysia

Sasar sehingga 40 penderma darah daripada 1,000 penduduk

DR. MUHAMMAD RADZI ABU HASSAN melakukan gimik perasmian sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 dan Ulang tahun ke-75 PBSM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan seramai 35 hingga 40 orang daripada 1,000 penduduk menjadi penderma darah aktif bagi memastikan bekalan darah negara terus mencukupi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan bagaimanapun berkata, ketika ini Malaysia hanya mencapai 19.7 hingga 22.5 penderma per 1,000 populasi pada tahun 2020 dan 2021.

Menurutnya, penurunan itu disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda sebelum ini.

“Alhamdulillah, pada tahun 2022, bekalan darah  mencukupi dengan sejumlah 737,554 beg darah berjaya didermakan, iaitu peningkatan sebanyak 13.7 peratus berbanding 2021. 

“Pencapaian yang membanggakan ini adalah hasil sumbangan dan kerjasama semua pihak, penganjur kempen dan penderma darah yang budiman,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan dan Ulang Tahun Ke-75 Bulan Sabit Merah Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohtar Pungut.

Dr. Muhammad Radzi berkata, bekalan darah perlu mencukupi pada setiap masa kerana keperluan transfusi darah boleh berlaku pada bila-bila masa menerusi kes kecemasan akibat pendarahan seperti ketika kemalangan atau tumpah darah semasa wanita bersalin. 

“Pada masa yang sama, terdapat pesakit memerlukan transfusi darah dan produk darah secara berkala bagi kelangsungan hidup mereka seperti pesakit talasemia, pesakit kanser, hemofilia dan ‘primary immune deficiency’. Darah dan komponen darah merupakan produk terapeutik yang penting dalam perawatan pesakit dan sehingga kini belum ada bahan sintetik yang boleh menggantikan darah sepenuhnya,” katanya.

Justeru, KKM komited memastikan keperluan bekalan darah selamat, berkualiti dan mencukupi dapat dibekalkan kepada fasiliti kesihatan untuk kegunaan pesakit. 

“Kita menyasarkan generasi muda tampil seawal mungkin apabila telah layak menderma darah bersama-sama dengan penderma berulang untuk menderma darah secara konsisten. Usaha murni ini dapat membentuk kesepaduan sosial, menggalakkan aktiviti sukarelawan dan seterusnya memotivasikan lebih ramai individu untuk terus tampil menderma darah di negara ini,” katanya. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya