SUNGAI PETANI: Tidak mengikuti kursus penternakan bukan alasan seorang remaja lepasan sekolah pondok berjinak-jinak menjadi pengusaha ternakan ikan air tawar demi mencari pendapatan sendiri untuk kelangsungan hidup.
Menjadikan sebuah kolam terbiar di sebuah kuari di Semeling, Bedong, usaha Mohamad Shukran Husaini Abdullah, 19, mula menampakkan hasil apabila 35,000 ekor ikan patin, tilapia dan kap yang diternaknya hampir lapan bulan lalu kini dalam proses untuk dijual.
“Saya sebenarnya langsung tidak mempunyai pengetahuan berkaitan ternakan namun berani melibatkan diri menjadi penternak ikan dengan hanya berbekalkan keyakinan untuk menceburi bidang itu.
“Saya juga beruntung kerana keluarga memberi galakan dan semangat sebaik memaklumkan hasrat menjana pendapatan untuk diri sendiri dan pada masa sama dapat membantu keluarga,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Menurut Mohamad Shukran, pada mulanya dia menghadapi kesukaran kerana tiada tempat untuk dijadikan kolam ternakan selain memerlukan modal yang tinggi untuk membeli benih tiga jenis ikan berkenaan.
“Namun dengan bantuan bapa yang mengenali pemilik kuari tanah itu, kolam bersaiz hampir dua padang bola itu akhirnya diberi sewa kepada saya selain bapa turut membekalkan kesemua benih anak ikan untuk diternak.
“Bagi mengelak berbelanja besar menyediakan makanan khas iaitu pelet untuk semua ikan, saya menggunakan motosikal mencari sendiri sisa makanan di kedai makan untuk diberi kepada ternakan,” katanya.
Kata anak kelapan daripada 10 adik beradik itu, dia juga bersyukur kerana tidak banyak menghadapi masalah menternak ikan secara terbuka di kolam terbabit.
“Kolam yang dalam dan luas ini memudahkan ikan untuk hidup asalkan kandungan airnya dijaga supaya tidak tercemar,” katanya.
Kini Mohamad Shukran berbangga kerana hasil ternakannya sudah memiliki pelanggan untuk membeli ikan yang sudah boleh dijual.
“Saya sangat puas apabila kerjaya pertama saya ini selepas menamatkan pengajian pondok mula menunjukkan hasil yang secara langsung akan memberi pendapatan untuk meneruskan hidup.
“Jika hasil pertama jualan ikan ini memberangsangkan saya berhasrat untuk mencari kolam terbiar lain untuk menternak pelbagai lagi jenis ikan air tawar,” katanya.-UTUSAN