KUALA LUMPUR: Puteri UMNO diingatkan supaya menerima perubahan politik hari ini demi kelangsungan parti dan kestabilan politik.
Menegaskan perkara itu, Ketua puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, meskipun ia memerlukan tempoh masa untuk menerimanya dengan baik, namun gerak kerja perlu dijalankan khususnya bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Mahu atau tidak, rela, atau paksa rela, kita kena menerima kedinamikan politik. Mungkin selama ini kita sudah selesa dengan budaya dan tradisi politik kita, program dan gerak kerja cara kita. Namun, demi kelangsungan pergerakan puteri.
“Marilah rakan-rakan semua bersama saya, kita lakukan anjakan paradigma dengan membuka ruang, untuk bekerjasama dengan parti-parti lain di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam ucapan dasar sayap Puteri di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTC), hari ini.
Tambahnya, Puteri UMNO perlu menyesuaikan diri dengan cara penyebaran maklumat terbaharu menggunakan media sosial.
Katanya, perkara itu merupakan hala tuju yang akan ditekankan sebagai Ketua Puteri UMNO baharu yang dipilih selepas pemilihan parti dibuat baru-baru ini.
“Sekarang zaman Youtube, zaman tiktoker, zaman tekan sana, tekan sini, swipe sana, swipe sini. Semua maklumat diperolehi di hujung jari tanpa sempadan. Jadi, selaraskan kaedah dan pendekatan yang bersesuaian dengan golongan yang kita nak hampiri.
“Guna medium-medium yang trendy, all out dekat Tiktok. Bagi orang nampak kita, dan apa kita buat. Jadikan media sosial sebagai saluran utama untuk kita sampaikan maklumat. Biro Media Sosial Pergerakan Puteri UMNO turut mengambil inisiatif dengan meningkatkan kekerapan ‘content’ di media sosial dan menyediakan ruang berinteraksi secara terus dengan orang ramai.
“Kita semua perlu gunakan bakat dengan sebaiknya. Dengan dunia yang semakin laju ini, kalau berucap panjang-panjang orang malas nak dengar,” ujarnya. -UTUSAN