PETALING JAYA: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa Jumaat ini sehingga 22 Jun 2025.
Razarudin yang dilantik secara kontrak selama dua tahun menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang bersara lebih awal.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Pitchay pula akan mengisi kekosongan kerusi nombor dua Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan berkata, pelantikan kedua-dua jawatan penting itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.
“Razarudin berumur 61 tahun dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor.
“Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.
“Beliau memulakan tugas pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai Pegawai Penyiasat dan meneruskan khidmat di jabatan tersebut sehingga tahun 1996 dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) di Daerah Muar, Johor.
“Beliau kemudiannya dilantik sebagai ASP Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Pengurusan di daerah sama pada tahun 1997,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, pada tahun 1998 beliau kembali bertugas di JSJ Daerah Muar sebagai Pegawai Penyiasat Kanan dan di jabatan yang sama di Kontinjen Johor.
Seterusnya, pada tahun 2000, beliau meneruskan khidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kluang sebelum menyambung pelajaran di Maktab PDRM Cheras.
“Kemudian beliau ditempatkan di JSJ Daerah Kota Setar dan dinaikkan pangkat ke Timbalan Penguasa Polis (DSP) dengan memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sandakan.
“Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat dan berkhidmat selama tiga tahun di situ. Beliau kembali ke JSJ Bukit Aman di Operasi Khas D8 dengan pangkat Superintenden dan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana.
“Sekembalinya dari belajar, beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) dan ditempatkan sebagai Penolong Pengarah D9, JSJ Bukit Aman dan setelah itu beliau dinaikkan pangkat ke Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dengan menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander, Special Task Force On Organise Crime (STFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebelum ke Kontinjen Pulau Pinang sebagai Ketua JSJ,” ujarnya.
Razarudin Husain kemudian dinaikkan pangkat ke Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak dua tahun selepas itu, seterusnya dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis dengan memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak.
Saifuddin berkata, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama setahun sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara mulai tahun 2021 sehingga kini.
“Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” jelasnya.-UTUSAN