SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) masih dalam proses saringan bagi memilih calon yang bakal mewakili parti itu untuk bertanding di 36 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kesemua parti dalam gabungan PN sudah memberikan nama calon masing-masing dan kini ia sudah dibawa ke jawatankuasa saringan di peringkat Pusat.
Jelas beliau, ia memastikan kelayakan masing-masing untuk bertanding sebelum keputusan muktamad diputuskan oleh pucuk kepemimpinan parti.
“Buat masa sekarang bagi kesemua parti termasuk dari Pas dan Gerakan telah mula beri cadangan nama-nama calon, di peringkat PN ada satu jawatankuasa untuk menyaring calon-calon ini bagi pastikan mereka layak sebagai calon dan sebagainya.
“Ia masih dalam proses saringan, di peringkat akar umbi, bahagian dan kawasan mereka mencadangkan nama kepada pucuk pimpinan dan daripada situ kita akan saring nama dan pucuk pimpinan akan buat keputusan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan Pimpinan PN Negeri Sembilan di Bilik Gerakan Utama PN Negeri Sembilan di sini hari ini.
Ahmad Faizal yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan dalam pada itu berkata, PN akan bertanding di kesemua 36 buah kerusi DUN di Negeri Sembilan pada PRN akan datang dengan sasaran diletakkan sudah tentunya mahu mengambil alih kerajaan negeri.
“Kesemua 36 kerusi akan ditandingi oleh PN, saya fikir tidak perlu untuk beritahu pembahagiannya jumlahnya kerana pada kami kami bergerak dalam satu pasukan PN. Jika calon datang dari Pas, Bersatu dan gerakan akan sokong sepenuhnya, begitu juga jika calon Bersatu akan disokong oleh rakan-rakan dari Pas dan Gerakan.
“Kami lihat secara umumnya ada respon yang cukup baik dalam kalangan pengundi sekarang ini. Melalui kajian-kajian yang telah kami lakukan, kami dapati ada perubahan yang amat ketara.
“Ada big swing terutama sekali dalam kalangan pengundi Melayu daripada sebelum ini yang sokong BN kini sokong PN. Kami yakin Negeri Sembilan berpotensi untuk kami ambil alih pentadbiran kerajaan negeri, kami akan berusaha dengan gigih,” katanya lagi.-UTUSAN.