KUANTAN: Polis Pahang membuka satu kertas siasatan ke atas ‘abang baju merah’ yang tular mengasari seorang pemandu wanita di Tapah, Perak kerana disyaki turut mengasari seorang pekerja restoran di Cameron Highlands.
Difahamkan tindakan lelaki berusia 28 tahun itu menampar pekerja sebuah restoran kerana tidak puas hati apabila makanan dipesannya lambat diterima.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, kertas siasatan dibawan Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu dibuka dibuka susulan laporan yang dibuat mangsa.
“Berdasarkan laporan diterima, lelaki berkenaan telah masuk ke sebuah kedai makan di Cameron Highlands dan tidak berpuas hati makanan lambat sampai sebelum mengasari seorang pekerja.
“Suspek masih disiasat pihak polis di Perak dan kita akan mengambil keterangan daripada suspek selepas ini,” katanya di sini hari ini.
Penyelia kilang berusia 29 tahun itu sebelum ini menunjal dan memarahi seorang wanita di Tapah ketika perjalanan menuruni Cameron Highlands.
Insiden yang berlaku berhampiran pusat rekreasi dekat Lata Iskandar, Perak itu mendapat reaksi netizen termasuk seorang pengguna TikTok turut tampil mengakui menjadi saksi kejadian lelaki yang sama turut menampar seorang pekerja di sebuah restoran di Cameron Highland pada 4 Jun lalu.
Dalam video yang dikongsi, pengguna TikTok berkenaan yang ketika itu sedang menjamu selera dengan keluarga di restoran berkenaan melahirkan rasa kurang selesa dengan tindakan lelaki tersebut menampar pekerja restoran hanya kerana makanan yang dipesan lambat tiba. -UTUSAN