KUALA PILAH: Polis merampas pelbagai senjata api, peralatan membuat senapang angin serta peluru hidup daripada tiga orang lelaki yang ditangkap dalam serbuan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, lebih kurang pukul 6.30 pagi, 26 Jun yang lalu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Pilah telah melakukan serbuan berkaitan dengan maklumat dadah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gemencheh Ulu, Air Mawang, Johol di sini.
Serbuan tersebut katanya, berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30-an.
Tambah beliau, susulan daripada serbuan pertama itu, pada pukul lebih kurang 7.30 petang, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah telah membuat serbuan di dua lokasi berbeza di Johol.
Menurutnya, hasil serbuan itu telah membuat tangkapan terhadap dua orang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 40-an.
“Pemeriksaan ke atas kesemua tangkapan tersebut telah menjumpai pelbagai senjata api turutan, peralatan membuat senapang angin serta peluru hidup yang disimpan dengan menyalahi undang-undang.
“Hasil pemeriksaan dan rampasan adalah seperti, dua laras senapang angin, selaras senapang patah buatan sendiri, sepucuk pistol angin, 116 butir peluru hidup jenis penabur, dan dua butir peluru hidup saiz .0.38 special.
“Turut dirampas, sepasang gari, satu butir bom asap, satu butir bom ikan buatan sendiri dan pelbagai peralatan untuk membuat senjata,” katanya hari ini.
Menurut Amran, kesemua rampasan dan tangkapan dibawa balik ke IPD Kuala Pilah untuk tindakan selanjutnya dan telah direman selama empat hari bermula semalam. Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.-UTUSAN.