KUALA PILAH: Polis kini giat memburu beberapa orang lelaki yang terbabit dalam kes samun sebuah rumah di Taman Impian Utama, Jalan Melang, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, kira-kira pukul 11 malam semalam, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan kejadian samun berkenaan.
Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Kuala Pilah dan dibantu oleh pasukan Bahagian Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah menyiasat di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dua orang lelaki memakai penutup muka dan bersenjatakan senjata tajam telah masuk ke dalam rumah dan berlaku pergelutan dengan mangsa dan suspek mengugut mangsa menyerah barang-barang berharga.
“Kedua-dua suspek telah berjaya melarikan diri. Di antara kerugian yang dialami mangsa adalah sebuah peti besi yang mengandungi sejumlah wang anggaran RM100,000, barang kemas anggaran nilai RM120,000, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima berwarna putih dengan nombor pendaftaran WRW 3652 dan wang tunai RM1,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ujar Amran, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 395 atau 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan bersenjata dan pihak polis sedang giat memburu suspek yang masih bebas.
Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Alice Kuba di talian 019-5389941 untuk membantu siasatan pihak polis.-UTUSAN.