PM wajar jaga etika, bukan bersikap macam lelaki tua miang

PM wajar jaga etika, bukan bersikap macam lelaki tua miang -Zuraida

ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggerak Komuniti Negara (PKN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta maaf selepas secara berseloroh meminta nombor telefon seorang pelajar tingkatan enam dalam satu program baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana tindakan itu adalah satu perkara yang amat dangkal dan memalukan, maka ia perlu segera dibetulkan sebelum ia dianggap sebagai satu norma baharu dalam pemerintahannya. 

Beliau berkata, seorang perdana menteri sewajarnya menjaga decorum dan etika dalam menghadiri majlis-majlis yang melibatkan umum dan tidak seharusnya bersikap seperti seorang lelaki tua miang yang tidak beradab.

“Dalam sesi tersebut, Anwar Ibrahim bukan sahaja memberikan jawapan retorik yang amat lemah, tetapi juga mengeluarkan kenyataan berbaur seksis dengan mengatakan kalau beliau masih muda, beliau akan meminta nombor telefon pelajar perempuan tersebut. 

“Perkara ini bukan sahaja tidak profesional, tetapi amat menakutkan kerana datangnya daripada seorang pemimpin negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Dalam satu sesi libat urus di sebuah universiti Sabtu lalu, seorang pelajar perempuan tingkatan enam bertanyakan dua soalan iaitu mengenai kejatuhan mata wang ringgit Malaysia dan mengenai peranan belia dalam pembangunan negara.

Anwar kemudian secara seloroh menyatakan beliau mungkin sudah meminta nombor telefon pelajar itu jika masih muda selepas bangga dengan soalan pelajar itu yang begitu kemas. 

Mengulas lanjut, Zuraida yang juga Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN) berkata, tindakan Perdana Menteri itu secara langsung menjatuhkan martabat wanita Malaysia dan seolah-olah membawa negara ini kepada zaman jahiliyyah yang memandang wanita hanya sebagai objek semata-mata. 

Sedangkan, katanya, wanita Malaysia secara amnya sudah berjuang untuk mengangkat martabat negara dalam pelbagai bidang dan seharusnya dihormati sebagai tulang belakang pembangunan negara. 

“Sebagai seorang ibu, saya juga risau dengan perkembangan ini kerana jika seorang Perdana Menteri menunjukkan sikap sebegini di dalam satu forum di hadapan khalayak ramai, apakah nasib anak muda wanita di negara ini yang ingin terlibat secara langsung dalam program-program diskusi terbuka lain yang dianjurkan oleh pihak kerajaan?

“Adakah anak-anak perempuan kita akan dinilai hanya dengan rupa paras mereka dan bukannya tahap pemikiran dan kebijaksanaan mereka dalam perbincangan mengenai sesuatu perkara?,” soalnya. 

Pada masa sama, Zuraida turut memuji tindakan Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz yang lantang menegur Perdana Menteri secara terbuka berhubung perkara tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya