PH optimis berdepan Sanusi di Kedah

PH optimis berdepan Sanusi di Kedah

SAIFUDDIN NASUTION
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Meskipun nama Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilihat cukup gah dalam kalangan penyokong Perikatan Nasional (PN), namun, Pakatan Harapan (PH) tetap optimis berdepan ‘panglima perang’ PN itu di Kedah dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi. 

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya percaya kepada kebijaksanaan rakyat dalam menilai serta membuat keputusan di kertas undi, terutamanya berkaitan pemilihan pemimpin yang sentiasa bersilih ganti dari masa ke semasa. 

Malah, katanya, perwatakan Muhammad Sanusi juga tidak menampakkan ‘keasliannya’ sebagai individu yang ditarbiah Pas bersandarkan aspek rohaniah, rabbaniyah dan ruhiyah.

“Kadang-kadang, ada pemimpin yang memilih untuk menjadi penglipur lara, tetapi, kita sudah tentu nak pemimpin yang visinya jelas selain berhemah, beradab, memiliki belas kasihan, prihatin serta mengutamakan penyelesaian rakyat. Seorang pemimpin tidak seharusnya memilih untuk jadi popular, tetapi masalah rakyat tidak diselesaikan. 

“Dalam perjalanan Pas sejak 1951, banyak watak pemimpin parti itu yang kekal dihormati sampai sekarang antaranya Datuk Fadzil Noor, Tan Sri  Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tan Sri Azizan Abdul Razak. Kami berbeza pandangan politik, tetapi adab sentiasa dijaga dan berhemah dalam menyantuni satu sama lain.  

“Tetapi watak yang ini (Muhammad Sanusi) macam bukan sebahagian daripada tarbiah Pas. Saya tak nampak yang beliau adalah produk daripada siri tarbiah Pas berasaskan kepada tarbiah Quraniah ini. 

“Saya sebahagian daripada tarbiah sedemikian sebelum ini dan hasil daripada didikan itu, kita tahu waktu bila nak bezakan pendapat serta memilih perkataan. Tetapi yang ini (Sanusi), saya tak fikir produk itu ‘asli’ daripada Pas,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya PKR Kedah di pekarangan pejabat PKR negeri di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, di sini.

Mengulas kewujudan gelombang hijau yang didakwa menyebelahi PN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Saifuddin berkata, dakwaan sedemikian ditimbulkan satu naratif, perang psikologi dan propaganda bagi membuat rakyat percaya kononnya PN mampu meraih kemenangan dalam PRN akan datang. 

Menurutnya, perkara itu adalah rempah ratus dalam politik dan itulah faktor yang membawa kepada ramalan-ramalan oleh pimpinan pembangkang. 

“Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin meramalkan gabungan tersebut akan tawan Pulau Pinang kerana sudah ada 20 kerusi dan Setiausaha PN Selangor, Dr. Afif Bahardin sasar menang semua 56 kerusi di Selangor. Adakah anda yakin dengan ramalan PN boleh menang kesemua 56 kerusi di Selangor? 

“Mereka nak orang percaya, tetapi mereka sendiri tak percaya dengan perkara itu. Mereka tahu perkara itu takkan mampu dicapai tetapi mereka nak pengundi PN yakin dan itulah namanya propaganda,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya