PH-BN 'nikah' sebab takdir - Mohamad Sabu

PH-BN ‘nikah’ sebab takdir – Mohamad Sabu

MOHAMAD Sabu (dua dari kiri) beramah mesra bersama sebahagian pemimpin peladang pada Majlis Ramah Mesra di Hotel Grand Renai, Kota Bharu Kelantan. UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : ‘Pernikahan’ Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan dilakukan bukan atas dasar suka sama suka tetapi sudah ditentukan oleh takdir.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerjasama yang terjalin di antara PH-BN setakat ini berjalan lancar dan pihaknya berharap ‘pernikahan’ itu akan terus berkekalan.

Menurutnya, ketika ini kedua-dua gabungan itu sudah memasuki fasa saling menjaga di antara satu sama lain demi kesejahteraan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Kita membentuk Kerajaan Perpaduan bukan kerana suka sama suka tetapi takdir yang menentukan..seperti pernikahan, ada yang nikah atas sebab cinta dan ada nikah yang diatur oleh ibu bapa. Jadi kita harap perkahwinan ini (PH-BN) adalah yang diatur ibu bapa dan insya-Allah ia akan kekal.

“Sekarang ini (PH-BN) masing-masing dalam pantang, masing-masing menjaga satu sama lain kerana kita tidak mahu perkara berulang seperti sebelum ini sehingga ada empat Perdana Menteri, katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Peladang di Hotel Grand Renai di sini, malam tadi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai agihan kerusi, Mohamad berkata, proses agihan kerusi melibatkan parti komponen PH-BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi sudah selesai 90 peratus, setakat ini.

Katanya, rundingan akan diteruskan minggu ini untuk menyelesaikan baki kerusi yang masih belum diputuskan.

“Setakat ini, agihan kerusi sudah 90 peratus selesai, sebahagian lagi akan ada perundingan minggu ini. Insya-Allah, agihan ini akan diselesaikan sebelum PRN.

“Jumlah kerusi tidaklah sebanyak dulu.Kali ini kita bertanding tidak mahu jumlah kerusi yang banyak tetapi kita mahu menang kerusi yang banyak,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad turut menyeru kepada rakyat Kelantan untuk berani melakukan perubahan memandangkan kerjaan negeri dilihat masih lagi tidak berupaya menyelesaikan masalah air yang sudah berlanjutan sejak berpuluh tahun.

“Di kelantan selalunya yang kita nampak adalah pengaruh pengundi luar, mereka tidak merasai masalah air kerana mereka hanya balik mengundi. Jadi kita harap pengundi luar dapat melihat (perbandingan) kejayaan di tempat lain.

“Perdana Menteri akan berusaha menyelesaikan masalah air ini kerana kita nampak kerajaan negeri masih tidak berupaya,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya