MELAKA: Satu perbincangan lanjut membabitkan pelbagai pihak akan dilakukan bagi menghidupkan Balai Adat Perpatih Naning di Alor Gajah dekat sini untuk dijadikan sebagai pusat rujukan kepada pengamal adat seluruh negara.
Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Akramuddin Ab. Aziz berkata, ia bertujuan untuk mengkaji Adat Perpatih di Melaka selaras dengan hasrat Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Katanya, Perzim diberi amanah bersama-sama Institut Tun Perak untuk melihat kewujudan adat berkenaan di negeri ini.
“Di Melaka, kebanyakan yang mengamalkan adat ini berada di sebelah Masjid Tanah dan Alor Gajah. Saya percaya kombinasi antara Negeri Sembilan dan Melaka itu memang wujud Adat Perpatih menerusi saluran perkahwinan dan sebagainya.
“Saya dimaklumkan kita akan adakan satu perbincangan lebih lanjut mengenai kewujudan Adat Perpatih. Saya tidak boleh mengulas lanjut dan percaya biarlah pihak tertentu yang akan buat keputusannya.
“Mengenai Adat Temenggung, kita akan lihat dari semasa ke semasa tentang keperluannya dan saya percaya pihak kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri akan melihat serta mengkaji keperluan kedua-dua adat berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Kapal Mendam Berahi: Realiti atau Mitos? di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri menyatakan akan membuat kajian menyeluruh untuk menghidupkan semula Adat Perpatih bagi diwarisi generasi akan datang khususnya pengamal adat itu.
Ab. Rauf berkata, Adat Perpatih dipercayai hilang dari negeri ini selepas Enakmen Undang Naning dipadamkan pada 1993.
Sementara itu, mengenai pembangunan Perkampungan Hang Tuah, Akramuddin berkata, kerja-kerja tender telah dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menurutnya, sebaik sahaja pembangunan semula selesai, pelbagai aktiviti akan diadakan di Perkampungan Hang Tuah seperti pertunjukan budaya.
“Sebanyak RM4 juta diperuntukkan untuk pembangunan semula ini. Antara aktiviti yang akan diadakan adalah pertunjukan budaya pada setiap Sabtu dan Ahad bermula tahun depan,” jelasnya. – UTUSAN