Permohonan reman Ketua Polis Daerah ditolak - Utusan Malaysia

Permohonan reman Ketua Polis Daerah ditolak

SEORANG pegawai kanan polis Pahang dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuantan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Mahkamah Majistret Kuantan di sini hari ini menolak permohonan reman dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang Ketua Polis Daerah di negeri ini berhubung siasatan membabitkan kes rasuah berjumlah lebih RM1 juta.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menolak permohonan reman tersebut yang dibuat Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutali terhadap pegawai kanan polis berusia 53 tahun terbabit.

Peguam, Datuk Bob S. Arumugam yang mewakili suspek ketika ditemui di luar mahkamah berkata, anak guamnya itu dibebaskan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum ini yang memutuskan SPRM tidak boleh bergantung di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) untuk menahan reman suspek.

Katanya, agensi itu sepatutnya menggunakan permohonan reman menggunakan akta mereka sendiri iaitu Seksyen 49 Akta SPRM.

Tambahnya lagi, SPRM boleh mengkehendaki suspek menandatangani bon atau ikat jamin jika mereka tidak dapat menyelesaikan siasatan.

Katanya, SPRM mempunyai masa 24 jam untuk melengkapkan siasatan mereka sebelum membebaskan suspek, selepas permohonan reman itu ditolak mahkamah.

“Ini bermakna SPRM boleh menahan anak guam saya sehingga pukul 4 petang ini bagi tujuan siasatan,” katanya di sini hari ini.

Pegawai kanan polis berusia 53 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Pahang petang semalam, kerana disyaki menerima suapan lebih RM1 juta sejak 2017 hingga 2022.

Suapan tersebut didakwa bagi melindungi kegiatan pusat hiburan dan pusat urut yang beroperasi dalam daerah diketuainya itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Bin Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.

Semalam, Ketua Polis negeri, Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbukti melakukan kesalahan membabitkan integriti.

Katanya, pihaknya memberi jaminan bahawa polis Pahang akan memberi kerjasama kepada SPRM untuk melengkapkan sebarang siasatan yang berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya