Perkhidmatan RORO kini beroperasi di Kuala Kedah

Perkhidmatan RORO kini beroperasi di Kuala Kedah

FERI pengangkut kenderaan Langkawi Kedah RORO telah memulakan operasinya ke Pulau Langkawi di Jeti Kuala Kedah. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Perkhidmatan feri roll-on roll-off (RORO) yang membawa kenderaan dan penumpang ke Langkawi kini mula beroperasi di Kuala Kedah, di sini dalam usaha menawarkan pengangkutan alternatif kepada orang ramai.

Menurut Eksekutif Jualan dan Pemasaran Langkawi Kedah Roro Management Sdn. Bhd. (Kedah RORO), Ismail Zain, syarikat tersebut melabur sebanyak RM200 juta bagi menyediakan kemudahan pengangkutan itu termasuk infrastrukturnya.

“Ketika ini Kedah RORO berlabuh di dermaga Jabatan Laut di Kuala Kedah. Ini adalah inisiatif kami untuk orang ramai yang ingin ke Langkawi sebagai memberi nilai tambah kepada hab pengangkutan awam di sini.

“RORO Kedah ini beroperasi sebulan sebelum Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023  (LIMA ’23) lalu apabila ia dijadikan pengangkutan untuk membawa penumpang, kenderaan awam dan perdagangan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Kedah Roro, di sini hari ini.

Beliau menambah, setakat ini Kedah RORO menyediakan dua perjalanan dari Langkawi dan Kuala Kedah setiap hari selain mensasarkan untuk menambah jadual perjalanan sehingga lima perjalanan dalam tempoh enam bulan ini . 

“Kapal RORO ini akan membawa penumpang dan kenderaan dari Langkawi pada pukul 9 pagi iaitu di Dermaga Tanjung Lembung, Bukit Malut serta di Kuala Kedah pada pukul 1 petang setiap hari.

“Jadual ini bagaimanapun berubah bergantung pada arus dan paras pasang surut air di Kuala Kedah dan kapal RORO ini mempunyai kapasiti 220 penumpang serta 65 kenderaan jenis sedan. Harga tiket bagi penumpang adalah RM26.50 bagi dewasa dan kanak-kanak pula RM23.50. Sementara kenderaan bermula RM260 mengikut kuasa kuda termasuk basikal dan lori,” katanya.

Tambah beliau, selain tempat duduk penumpang yang selesa kapal RORO tersebut juga menyediakan kemudahan lain termasuk kafeteria serta dek pemandangan untuk pengunjung menikmati pemandangan sepanjang perjalanan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN