IPOH: Kerajaan Perak pada landasan kukuh untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri apabila merekodkan 294 projek pelaburan yang diluluskan sepanjang tahun lalu di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan genap setahun lalu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaburan sebanyak RM6.6 bilion dengan RM2.28 bilion membabitkan pelaburan langsung asing (FDI) itu menawarkan 7,682 peluang pekerjaan.
Malah katanya, Perak turut merekodkan prospek memberangsangkan bagi suku kedua tahun ini apabila menjadi antara empat negeri teratas yang menarik sebahagian besar pelaburan diluluskan.
“Sebanyak RM7.1 bilion telah berjaya direkodkan iaitu peningkatan sebanyak 550 peratus berbanding RM1.3 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
“Dalam tempoh setahun, Perak turut menerima banyak pelaburan berimpak tinggi termasuk projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) bernilai RM32 bilion di Tanjung Malim, pembinaan kilang elektronik XP Power di Seri Iskandar (RM300 juta) dan pembinaan kilang memproses mineral di Silver Valley Technology Park (RM100 juta),” katanya pada Majlis Sambutan Setahun Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini semalam.
Menurut Saarani, selain aspek ekonomi yang menjadi teras bagi pelan Perak Sejahtera 2030, kerajaan negeri turut menggariskan dua teras utama iaitu Sejahtera Sosial dan Sejahtera Politik.
Beliau berkata, bagi aspek sosial, Perak turut meningkatkan prasarana jalur lebar termasuk mempercepatkan projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
Selain itu katanya, sebanyak 71 Pusat Ekonomi Digital (PEDi) telah dibina di seluruh negeri Perak bagi menyediakan capaian internet secara kolektif kepada penduduk luar bandar.
“Kerajaan negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) telah mengadakan Jelajah Karnival Kerjaya Daerah Perak Sejahtera 2030 membabitkan 4,314 pencari kerja dengan disertai 148 industri dari seluruh negeri selain memudahkan pencari kerja melalui aplikasi Talent Perak.
“Malah, inisiatif Tuisyen Cikgu Saaarani (TCS) telah diperluas dan berjaya meningkatkan pencapaian pelajar yang yang layak memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain Bantuan Sara Diri Mahasiswa dan Bantuan Kecemasan Mahasiswa turut diperkenalkan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta.
“Pelaksanaan projek-projek tebatan banjir serta pembangunan infra rakyat termasuk pembinaan Jambatan Bagan Datuk-Sejagop bernilai RM460 juta telah pun mula beroperasi dan memberikan kemudahan akses laluan pengangkutan menghubungkan daerah Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak,” katanya.
Tambah beliau, dalam aspek politik, wakil rakyat kerajaan dan pembangkang diberikan peruntukan sama rata dengan kemudahan saksama selain membenarkan setiap wakil rakyat termasuk pembangkang menjadi anggota Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah, dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
“Bagi memastikan Perak Sejahtera 2030 dapat direalisasikan, Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa kerja diwujudkan untuk menyelaraskan pelaksanaannya bagi menjayakan 18 program flagship yang telah dirangka,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Perak juga tidak ketinggalan dalam melaksanakan pendigitalan kerajaan dengan memperkenalkan beberapa sistem dan aplikasi antaranya MyPatil iaitu Premis Perniagaan Digital, One Stop Centre 3.0 Plus Online (OSC 3.0 Plus) dan Park@Perak yang diguna pakai pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai alternatif tambahan pembayaran parkir kenderaan menggunakan kupon.
Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada 15 Jun 2022 merupakan penunjuk arah untuk jentera kerajaan bagi merealisasikan pelan pembangunan jangka panjang negeri Perak menuju 2030 berlandaskan tiga asas utama iaitu dinamik, realistik dan boleh capai.
Pelan tersebut dirangka dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat Perak dan memacu pembangunan sosioekonomi yang seimbang berpaksikan matlamat Perak Makmur, Rakyat Sejahtera. – UTUSAN