Pengawal keselamatan didenda pindah wang milik orang lain ke akaun sendiri

Pengawal keselamatan didenda pindah wang milik orang lain ke akaun sendiri

MOHD. Adnan Md. Johari (kiri) diiringi polis semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pengawal keselamatan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memindahkan wang sebanyak RM14,000 milik orang lain ke akaun banknya pada Mac lalu.

Tertuduh, Mohd. Adnan Md. Johari, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohammad Fitri Mokhtar. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur memindahkan suatu harta iaitu wang sebanyak RM14,000 milik Mohd. Zawawi Mamat, 56, yang tiada hak ke atasnya.

Perbuatan itu dilakukan olehnya di Jalan Pengkalan Demit di sini kira-kira pukul 12.38 tengah hari hingga 1.12 tengah hari pada 2 Mac, 5 Mac dan 6 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Siti Aisyah Abdul Manah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). 

Terdahulu, Siti Aisyah memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan tertuduh terbabit dalam kes yang serius. 

Peguam YBGK yang mewakili tertuduh kemudiannya memohon hukuman yang paling minimum memandangkan ia merupakan kesalahan pertama yang dilakukan oleh Mohd. Adnan.

Menurutnya, selain itu, tertuduh juga menanggung ramai anak yang berada di bawah jagaannya.

Mahkamah menetapkan hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.  

Tertuduh membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya