Pencuri berselimut kebas beg warga emas dalam surau - Utusan Malaysia

Pencuri berselimut kebas beg warga emas dalam surau

TANGKAP layar rakaman CCTV memaparkan kelibat seorang pencuri menggunakan selimut untuk menyembunyikan identitinya dalam kejadian curi di Surau Kampung Indah, Bahau, Jempol pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Kelibat seorang pencuri menggunakan selimut untuk menyembunyikan identitinya berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di Surau Kampung Indah, Bahau, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian itu, beg silang milik seorang warga emas, Abdul Rahman Salimap, 68, dikebas pencuri tersebut menyebabkannya kehilangan dokumen penting termasuk kad bank serta wang tunai sebanyak RM150.

Menurut anak tiri mangsa, Rafika Fitri Masweldi, 33, kejadian berlaku ketika bapanya menunaikan solat subuh di surau berkenaan.

“Kejadian kira-kira pukul 6 pagi, ketika itu ayah jadi imam dan ada jemaah wanita di belakang tabir, bagaimana pun ayah sedar ada kelibat dibelakangnya namun beranggapan ada jemaah lain datang hendak solat.

“Selesai solat, beg yang diletakkan di tepi sudah hilang, lalu ayah memaklumkan perkara itu kepada imam sebelum memeriksa CCTV,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Berdasarkan rakaman CCTV yang dimuat naik Rafika Fitri di akaun Facebook miliknya yang memaparkan seorang lelaki dilihat masuk ke dalam surau dengan menutup muka dan badannya menggunakan kain dipercayai selimut. 

Lelaki berkenaan kemudiannya mencapai beg silang di bahagian tepi surau sebelum keluar. 

“Wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk membeli ubat berikutan kesihatan ayah tidak begitu baik termasuklah penglihatannya. Laporan polis juga sudah dibuat semalam di Balai Polis Bahau,” katanya.

Tambahnya lagi, kejadian tersebut merupakan yang kelima membabitkan jenayah curi dan pecah tabung surau di situ. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya