LIPIS: Seorang pemuda Kampung Beluan, Kerambit di sini, Muhammad Suhaimy Nordin, 27, berdepan pengalaman perit apabila cincin besi dipakainya tersangkut dan sukar ditanggalkan daripada jari telunjuk tangan kanannya yang juga dilaporkan mula membengkak.
Ketua Balai Bomba Kuala Lipis, Haslizan Ramli berkata, mangsa datang sendiri ke Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis pukul 12.39 pagi hari ini untuk bantuan anggota bomba menanggalkan cincin itu.
“Tiga anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) memulakan tugasan mengeluarkan cincin besi ini pukul 12.42 pagi.
“Anggota bomba berjaya menanggalkan cincin dengan masa selama 15 minit,” katanya di Balai Bomba Kuala Lipis di sini hari ini.
Menurut Haslizan, anggota bomba menggunakan alat pemotong khas untuk mengeluarkan cincin itu dan mangsa tidak mengalami kecederaan cuma sedikit kesan bengkak di jari.
“Kerja menanggalkan cincin besi ini dengan peralatan khas dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan jari mangsa,” katanya.
Beliau difahamkan, lelaki berkenaan memakai aksesori itu sejak beberapa bulan lalu pada mulanya agak selesa, tetapi ketika hendak menanggalkanya semalam mula berdepan kesukaran.
Ujarnya, orang ramai dinasihatkan berhati-hati memakai alat aksesori di jari atau gelang di pergelangan tangan kemungkinan sukar ditanggalkan sekiranya pemakaian dalam tempoh yang panjang. – UTUSAN