Pembangunan MVV 2.0 tingkatkan ekonomi Negeri Sembilan - PM - Utusan Malaysia

Pembangunan MVV 2.0 tingkatkan ekonomi Negeri Sembilan – PM

FADILLAH Yusof bersama Aminuddin mendengar penerangan mengenai pembangunan kawasan MVV 2.0 pada Majlis Peluncuran Projek Katalis MVV 2.0 di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kerajaan Persekutuan akan sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam usaha untuk mempertingkatkan ekonomi di Negeri Sembilan termasuk melibatkan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 seluas 153,411 hektar meliputi daerah Seremban dan Port Dickson.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan Projek Katalis MVV2.0 adalah bertepatan dengan usaha kerajaan dalam melestarikan pertumbuhan ekonomi di Negeri Sembilan.

Tambah beliau, Pelan Induk Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan yang memfokuskan kepada pembangunan di MVV 2.0 adalah unik dan menarik kerana ia dirancang untuk dibangunkan secara bersasar berasaskan kedudukan persekitaran yang ada.

“Mewujudkan Lembah Aeroangkasa NS (NSAV) untuk dijadikan sebagai pusat industri pembuatan kapal terbang yang mensasarkan ‘Pusat Pemasangan Kapal Terbang’ yang dilengkapi dengan supply-chain eco-system bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bakal melonjakkan penguasaan Malaysia di dalam industri ini yang pada masa kini sekitar lima peratus.

“Usaha untuk membangunkan Port Dickson sebagai hab maritim di samping masih mengekalkan keindahan pantai sebagai pusat pelancongan bakal memberi impak besar kepada ekonomi negara. 

“Industri penyelenggaraan, pembaikkan dan baik pulih (MRO) di dalam industri perkapalan, pembekalan bahan api  pembekalan air dan makanan, industri bina kapal dan pelbagai lagi wajar dilaksanakan untuk kita memanfaatkan kedudukan negara ini di laluan perkapalan yang sibuk,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Peluncuran Projek Katalis MVV 2.0 di sini hari ini.

Yang hadir sama pada majlis tersebut,  Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri yang juga Pengerusi Perbadanan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek.

FADILLAH Yusof bersama Aminuddin melawat pameran pada Majlis Peluncuran Projek Katalis MVV 2.0 di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Tambah Perdana Menteri, pelbagai konsep pembangunan yang diutarakan dalam MVV 2.0 termasuk Wilayah Pintar, Kawasan Perindustrian Berteknologi Tinggi, Lembah Kenderaan Tanpa Pemandu dan Lembah Semikonduktor NS merupakan pembangunan mampan yang cukup terancang serta holistik dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Beliau malah yakin, usaha tersebut akan menjadikan Seremban dan Port Dickson setanding dan tidak mustahil untuk menjadi lebih baik lagi berbanding dengan bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam usaha untuk mempertingkatkan ekonomi di Negeri Sembilan. Bagi menyokong pembangunan MVV 2.0, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Air dan Sumber Asli dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan meneliti inisiatif pelaburan yang telah dikemukakan kerajaan negeri.

“Saya juga berharap pihak berkuasa tempatan dapat memberi kerjasama dan tumpuan dalam memajukan dan membangunkan pembangunan di kawasan MVV 2.0 serta diberi keutamaan agar dapat dilaksanakan secara teratur dan inklusif. 

“Usaha ini akan membawa manfaat kepada semua pihak khususnya rakyat Negeri Sembilan,” katanya sambil memberitahu sebanyak RM15.6 bilion nilai perjanjian dan usaha sama berjaya dimeterai hari ini bagi kesemua pembangunan di kawasan MVV 2.0.

Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau yakin menerusi pembangunan MVV 2.0 lebih banyak peluang akan terbuka kepada pembangunan ekonomi negeri dan perancangan pembangunan ini akan terus berada di landasan yang tepat serta mampu direalisasikan menjelang tahun 2045 dengan penglibatan dan komitmen semua pihak.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya