Pemandu lori tangki minyak cuai, dua beradik maut - Utusan Malaysia

Pemandu lori tangki minyak cuai, dua beradik maut

DUA beradik maut selepas kereta dinaiki dilanggar sebuah lori tangki minyak di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di Kuantan, Pahang. - FOTO IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kecuaian pemandu lori tangki minyak dipercayai punca dua beradik yang berasal dari Felda Lepar Hilir 1 di sini maut setelah kereta dinaiki mereka dilanggar kenderaan berat itu di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Siti Mazurah Zulkifli, 30, yang merupakan seorang pramusaji dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18, yang bekerja sebagai jurujual meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dialami.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, pemandu lori terbabit dikatakan datang dari arah Muadzam Shah, Rompin menuju ke stesen minyak Petron Gambang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba pemandu lori hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan tersebut, kedua mangsa dalam kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Mohd. Zahari juga berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan dipandu sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku.

“Pemandu lori terbabit sudah ditahan bagi membantu siasatan. Keputusan ujian air kencing terhadap lelaki itu negatif dadah. Keterangan pemandu lori berkenaan sudah diambil dan lori dipandu akan di bawa ke Puspakom untuk pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 11.21 malam.

Beliau berkata, susulan maklumat diterima, lapan anggota bomba pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas dibantu BBP Indera Mahkota ke lokasi untuk operasi menyelamat mangsa kemalangan terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN