JOHOR BAHRU: Seorang pemandu bas persiaran Singapura didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyelewengkan minyak diesel bersubsidi sebanyak 500 liter, Selasa lalu.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Low Yong Pang, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki minyak diesel kira-kira 500 liter, iaitu barang kawalan di dalam sebuah bas persiaran jenis Scania nombor pendaftaran PA7792G di sebuah stesen minyak di Jalan Kempas Baru, Johor Bahru pada pukul 10 pagi, 30 Mei lalu.
Yong Pang didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Pegawai Pendakwa KPDN, Raja Nor Ikhlas Raja Ariff, manakala Yong Pang diwakili peguam bela, Dahlia Tan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua penjamin warga tempatan..
Mahkamah turut menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN