KOTA BHARU: Seorang pemancing terkejut apabila melihat mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung semasa sedang memancing udang di tebing Sungai Kelantan di Kampung Surau Kota di sini hari ini.
Samsudin Omar, 64, berkata, dia bersama beberapa rakannya yang memancing udang di kawasan itu kira-kira pukul 8.30 pagi menyangka objek yang kelihatan seperti seperti sampah itu merupakan mayat seorang lelaki.
Menurutnya, dia melihat mayat tersebut terapung sejauh 100 meter dari lokasi memancing sebelum memanggil dua lelaki yang sedang menaiki bot untuk melihat keadaan lelaki tersebut dengan lebih dekat.
“Dua lelaki itu kemudiannya menghampiri mayat seorang lelaki berpakaian lengkap dipercayai berusia dalam lingkungan 40-an yang berada dalam keadaan tertiarap.
“Mayat berkenaan sudah berbau. Berdasarkan keadaan ketika itu, dia dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam dan hanyut ketika air Sungai Kelantan pasang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Samsudin memberitahu, lokasi tersebut menjadi lubuk untuk memancing udang sejak tiga tahun lalu dan dia tidak menyangka akan berjumpa mayat orang mati hari ini.
Katanya, dia meminta salah seorang rakannya menghubungi polis memaklumkan berhubung penemuan mayat itu.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Che Min 50-an, berkata, dia menyedari kejadian tersebut selepas terdengar jeritan orang ramai yang memaklumkan ada mayat di tebing sungai tidak jauh dari gerainya.
“Saya bergegas ke tebing dan melihat mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian, namun sudah berbau.
“Sejak saya tinggal di sini hampir 10 tahun lalu, ini merupakan kali kedua berlakunya penemuan mayat di kawasan sungai ini,” katanya.-UTUSAN