MERSING: Seorang pelancong warganegara Thailand maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 14, Jalan Jemaluang-Mersing, Johor awal pagi tadi.
Mangsa yang menaiki Mitsubishi Grandis dikenali sebagai Miss Steenurhalisa Useng, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala 14 orang yang lain mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 3.30 pagi melibatkan sebuah BMW X5, Mitsubishi Grandis dan Perodua Myvi.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila BMW X5 yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun dari arah Mersing telah hilang kawalan sewaktu melalui jalan berselekoh lalu memasuki laluan bertentangan.
“Ini menyebabkan kereta itu bertembung dengan Perodua Myvi dan Mitsubishi Grandis yang datang dari arah Johor Bahru. Akibat kemalangan ini, seorang penumpang Mitsubishi Grandis, iaitu seorang wanita Thailand disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian muka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Seorang lagi penumpang kenderaan sama, iaitu seorang lelaki warga tempatan cedera patah tangan, manakala 13 yang lain hanya mengalami cedera ringan.
Pemandu BMW X5 itu telah dirakamkan keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Hasil ujian air kencing terhadap lelaki berkenaan adalah negatif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam pada itu Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hussine berkata, seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang berhampiran dengan Kampung Wak Salam dan pihaknya mengeluarkan mangsa yang telah meninggal dunia menggunakan peralatan khas.
“Semua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Mersing dengan menaiki ambulans, manakala mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada pukul 4.35 pagi,” katanya. – UTUSAN