KUALA LUMPUR: Pemimpin DAP hari ini memberitahu tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang hanya bertindak menafikan laporan portal berita hanya selepas satu minggu menggambarkan bahawa beliau benar-benar membuat kenyataan mahu ‘memadamkan’ Pulau Pinang dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, mengikut logik, pemimpin berkenaan sepatutnya menafikan laporan tersebut sejak awal berita itu disiarkan.
Katanya, ia bukannya selepas disiasat polis baru mengambil tindakan ketika ramai telah terkesan susulan kenyataan tidak bertanggungjawabnya.
Beliau berkata, Muhammad Sanusi tidak sepatutnya menyalahkan media sebaliknya perlu bersikap berani dan mengakui telah membuat silap.
“Laporan berita itu disiar pada 31 Mei, dan hari ini sudah 8 Jun. Semalam beliau sebut laporan ini palsu, kalau begitu mengapa tunggu tujuh hari baru buat pembetulan?
“Sebelum ini beliau diam sahaja. Saya percaya beliau tidak dapat menjawab soalan polis yang menyiasat beliau di bawah undang-undang.
“Jika laporan portal berita ini palsu, maka beliau boleh membuat laporan polis tetapi hakikatnya tidak dilakukan. Jadi, janganlah tegakkan benang yang basah, ia tidak harus dilakukan oleh seorang pemimpin,” kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu kepada pemberita dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Semasa sidang akhbar semalam, Muhammad Sanusi menjelaskan hanya mengeluarkan kenyataan menuntut nilai pajakan Pulau Pinang yang dibayar kepada Kedah dinaikkan mengikut kadar semasa selepas bayaran kepada negeri itu sejak 2018 yang hanya berjumlah RM10.01 juta.
Penafian itu timbul selepas beliau memberi keterangan hampir satu jam kepada pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman berhubung kenyataannya di Alor Setar sebelum ini.
Pada 31 Mei lalu, portal berita berkenaan melaporkan Muhammad Sanusi mahu mana-mana bahagian membabitkan keanggotaan Persekutuan dalam Perlembagaan dipinda bagi menyokong tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang.
Muhammad Sanusi juga mendakwa Pulau Pinang berada di bawah hak milik Kedah memandangkan negeri itu hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis sahaja. -UTUSAN