KUALA LUMPUR: Selepas kegagalan Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas di pentas Sukan SEA Kemboja baru-baru ini, Kementerian Belia dan Sukan kini merangka pelan jangka pendek dan panjang sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Pelan itu bagi memastikan menang pingat emas seperti disasarkan tercapai.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, tumpuan akan diberi kepada aspek sokongan tambahan seperti peningkatan bilangan pendedahan latihan dan pertandingan antarabangsa, khidmat sokongan sains sukan dan teknologi serta peralatan sukan terkini.
Katanya, kerajaan mengumumkan pembentukan Projek Road to Gold (RTG) dengan objektif menyelaras usaha negara bagi meraih pingat emas pertama di pentas Sukan Olimpik, dan jawatankuasa itu dipengerusi oleh menteri dengan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Katanya, RTG memberi tumpuan kepada dua kitaran Sukan Olimpik iaitu Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 memandangkan jangkaan lima tahun merupakan tempoh menyediakan seseorang atlet di tahap prestasi terbaik bagi saingan peringkat antarabangsa.
“Ini juga selari dengan objektif utama RTG untuk memenangi pingat emas pertama negara di pentas Sukan Olimpik. Berdasarkan kepada semua kriteria ditetapkan, sehingga kini seramai 15 atlet telah disenarai di bawah program ini dan bilangannya dijangka meningkat dari semasa ke semasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal [PN-Machang ] meminta kerajaan menyatakan rancangan terperinci menjelang temasya Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028 serta pembentukan RTG.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, jawatan kuasa itu bekerjasama dengan program Podium sedia ada dengan memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.
“Pemilihan atlet-atlet adalah berdasarkan kepada kriteria seperti Pemenang pingat di Temasya Sukan Olimpik 2020 dan Ranking 10 Dunia,” katanya.
Sebelum ini, Malaysia gagal mencapai sasaran 40 pingat emas di pentas Sukan SEA Kemboja dan berada di kedudukan ketujuh dalam senarai kutipan pingat Sukan SEA 2023 setelah hanya mengumpul 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa.
Dalam sidang akhbar mengenai rangkuman prestasi kontinjen Malaysia di Sukan SEA Kemboja, Hannah memberitahu kegagalan kontinjen negara di pentas Sukan SEA Kemboja turut berkait dengan ketidakstabilan politik negara yang menyaksikan perancangan dan persiapan atlet terjejas.
Katanya, kegagalan Kontinjen Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas yang didakwa berkaitan ketidakstabilan politik disebabkan negara menyaksikan pertukaran tiga menteri semasa pentadbiran Kabinet terdahulu.
Katanya, akibat pertukaran menteri sepanjang empat tahun itu menyebabkan dasar-dasar sukan negara menjadi tidak menentu sehingga menyebabkan peruntukan yang sepatutnya diguna untuk keperluan para atlet negara terjejas. -UTUSAN