PARLIMEN: Lagi Yang Dipertua Dewan Rakyat tolak usul

PARLIMEN: Lagi Yang Dipertua Dewan Rakyat tolak usul pembangkang tentang isu kalimah Allah 

ZULKIFLI Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas usul persendirian Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditolak Dewan Rakyat, kini ahli Parlimen pembangkang turut menerima nasib sama apabila usul persendiriannya untuk meminda Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388) ditolak.

Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran Pindaan Akta 388 yang dibawa itu adalah bagi memastikan satu akta khusus yang dapat memuktamadkan tafsiran dan penggunaan kalimah Allah dari disalah tafsir. 

Beliau memberitahu usul tersebut dikemuka kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, 25 Mei lalu.

Katanya, usul tersebut mencadangkan supaya kalimah Allah dimasukkan dalam akta tersebut dan makna, terjemahan serta tafsiran adalah bersandarkan al-Quran dengan merujuk Surah Al-Ikhlas.

“Surah al-Ikhlas yang disebut dalam RUU mengandungi ayat yang menjadi neraca dalam memahami makna sebenar kalimah Allah dalam keadaan gejala kemurtadan dan munculnya agama menyeleweng yang dibawa masuk ke Malaysia.  

“Cabaran kekeliruan terhadap kalimah Allah jika tidak diatasi dibimbangi menggugat akidah dan anak-anak Islam pada masa hadapan. 

“Pengetahuan yang benar tentang Allah sebagai zat ketuhanan dengan sifat kesempurnaan tidak berbilang dan tidak kurang sifatnya seperti manusia adalah syarat kesahihan iman menurut Islam. 

“Tanpa akta khusus yang mengawal kalimah Allah dari disalah tafsir, saya bimbang struktur agama akan terancam. Saya tegaskan cadangan RUU ini perlu disokong,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Parlimen di sini hari ini. 

Pun begitu, tiada sebarang penjelasan daripada Dewan Rakyat berhubung penolakan usul berkenaan. 

Disebabkan itu, Zulkifli akan memohon perkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Majlis Raja-Raja bagi menjelaskan berhubung usul persendirian itu. 

Turut bersidang ialah ketua pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh; Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim dan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.  

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan, penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembah cadangan mengukuh penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

Katanya, kerajaan akan mengemas kini peraturan penggunaan kalimah itu dan kertas kerja cadangan akan dibentang dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai ini.

Mengulas lanjut, ditanya jika cadangan pindaan Akta 388 itu akan menghalang penganut agama lain di Malaysia menggunakan kalimah Allah, Zulkifli berkata, RUU 388 itu memperinci makna, terjemahan, tafsiran dan penggunaan kalimah Allah dalam mana-mana penerbitan.

“Pindaan ini membolehkan menteri berkenaan menggunakan Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) untuk mengeluarkan perintah melarang penerbitan yang mengguna pakai kalimah Allah, yang boleh membawa makna, terjemahan dan tafsiran yang berbeza dengan tafsiran dalam RUU ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN