PARLIMEN: Kertas siasatan Abdul Hadi, Shahidan tumbangkan

PARLIMEN: Kertas siasatan Abdul Hadi, Shahidan tumbangkan kerajaan sudah diserah kepada AGC 

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberitahu kertas siasatan polis melibatkan dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang didakwa merancang menjatuhkan Kerajaan Perpaduan sudah diserah kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). 

Dengan penyerahan kertas siasatan itu, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada Peguam Negara untuk meneliti tindakan undang-undang yang sesuai dikenakan terhadap mereka. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dua wakil rakyat berkenaan ialah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Polis menjalankan siasatan ke atas dua laporan polis di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948/ seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 ke atas kenyataan Ahli Parlimen Arau berkaitan rancangan menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan/seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke atas kenyataan dalam video Ahli Parlimen Marang berkaitan menumbang kerajaan sedia ada melalui sistem demokrasi negara. 

“Kedua-duanya telah diserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan lanjut,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.  

Disember tahun lalu, Shahidan dilaporkan mendakwa usaha sedang dibuat untuk memastikan PN menjadi kerajaan semula, selain melihat petanda baik bahawa sokongan terhadap gabungan itu sebagai luar biasa. 

“Jadi, kami sedang berusaha supaya kabinet ini tidak tahan lama dan insya-Allah kami yang akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat,” katanya seperti dilapor. 

Mac lalu, Abdul Hadi pula mendakwa, usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar dalam masa terdekat adalah sesuatu yang dibolehkan kerana negara mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan. 

Beliau juga mempertahankan tidak melangkaui titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan sebuah kerajaan stabil dan mengekalkan kerajaan pimpinan Anwar hingga habis penggal, kerana Seri Paduka bukan kata pemutus yang menghalang perubahan dalam negara demokrasi. 

“Memang kita berhak merancang (tumbangkan kerajaan), tiada siapa yang boleh menghalang,” kata Abdul Hadi.

Beliau sebelum ini pernah berucap pada sesi Dialog Ulama Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini anjuran Yayasan Permata Ummah di Kuala Lumpur dilaporkan menjangka bahawa kerajaan akan tumbang tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Anwar pula melabelkan Abdul Hadi sebagai ‘mengigau’ susulan kenyataan dikeluarkannya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya