Kerajaan segera laksana jika Kertas Putih Kesihatan disokong

Kerajaan segera bangun pelan pelaksanaan jika Kertas Putih Kesihatan disokong -Zaliha 

DR. ZALIHA Mustafa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan segera memperinci dan membangunkan pelan pelaksanaan supaya usaha penting dan kritikal tidak dilengahkan sekiranya ahli-ahli Dewan Rakyat menerima pakai segala cadangan yang terkandung di dalam Kertas Putih Kesihatan. 

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, inisiatif reformasi sistem kesihatan melalui kertas putih itu disifatkan sebagai pelaburan baik untuk negara yang memberi impak kepada peningkatan akses rakyat demi perkhidmatan kesihatan berkualiti dan saksama. 

Selain itu, katanya, impak melaluinya juga diyakini memantapkan perlindungan sosial dan risiko kewangan selain memastikan sistem kesihatan negara lebih mapan dan berdaya tahan. 

“Reformasi sistem kesihatan perlu dibuat dengan teliti dan mengambil masa merentasi paras pembangunan negara. Usaha ini akan dilaksana secara berfasa menjangkau masa 15 tahun merangkumi fasa jangka pendek iaitu lima tahun pertama bermula 2024, jangka sederhana (2029) dan jangka panjang bermula 2034 hingga 2039. 

“Bagi memastikan reformasi sistem kesihatan dilaksana secara berterusan dan telus, satu badan pemantauan akan ditubuhkan. Badan ini akan melaporkan pencapaian pelaksanaan reformasi sistem kesihatan secara berkala kepada Parlimen dan Rakyat. 

“Penubuhannya akan mewujudkan mekanisme semak dan imbang supaya usaha dan komitmen negara kepada reformasi sistem kesihatan adalah kalis masa dan kalis peredaran ekonomi dan politik,” katanya semasa membentang Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, kata Zaliha, beban penyakit kronik semakin banyak dan menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi dari tahun 2011 hingga 2019, terdapat peningkatan prevalen penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi yang menjadi penyumbang utama kepada beban kesihatan negara. 

Katanya, prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan penduduk berusia 16 tahun ke atas semakin melarat dengan peningkatan hampir tiga kali ganda iaitu daripada 11 peratus pada 1996 kepada 29 peratus pada 2015. 

“Sebanyak 12 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental pada 2015. Begitu juga dengan insiden kanser dalam negara yang menurut Registri Kanser Kebangsaan, sebanyak 115,000 kes kanser baharu dilaporkan dari tahun 2012 hingga 2016,” katanya. 

Dalam pada itu, kata Zaliha, sistem kesihatan negara berhadapan dengan peningkatan kadar penuaan populasi yang mana unjuran populasi oleh Jabatan Perangkaan menjangka pada 2030 nanti, Malaysia akan menjadi negara tua.

“Prevalen penyakit tidak berjangkit lebih tinggi dalam kalangan warga emas dan secara langsung permintaan penjagaan kesihatan juga meningkat,” katanya. 

Kata Zaliha, sistem penyampaian penjagaan kesihatan negara yang bersifat dikotomi dan tidak berintegrasi menyumbang kepada pengagihan perkhidmatan dan sumber-sumber kesihatan yang tidak seimbang di Malaysia. 

“Contohnya, fasiliti penjagaan kesihatan primer sektor awam merangkumi hanya 28 peratus daripada keseluruhan fasiliti penjagaan kesihatan primer, tetapi mengendalikan hampir 64 peratus daripada lawatan pesakit luar. 

“Situasi ini menyebabkan fasiliti dan anggota di sektor awam terbeban, lebih-lebih lagi semasa kemuncak pandemik Covid-19,” katanya. 

Kata Zaliha, kerajaan tetap berusaha supaya kes-kes kecemasan dan yang perlu diintervensi segera diberi keutamaan ketika  Laporan Audit Negara tahun 2018 menunjukkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital sektor awam, berpunca daripada kekurangan kakitangan, kehadiran pesakit yang tinggi, kekurangan pembiayaan dan tidak mempunyai peralatan mencukupi untuk menyediakan tahap penjagaan sewajarnya.

“Kekangan ini termasuk klinik dan hospital. Data terkini Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa masa menunggu untuk mendapatkan rawatan seperti pembedahan kardiotorasik, pembedahan katarak, pembedahan neuro dan lain-lain boleh mengambil masa tiga hingga 15 bulan,” katanya. 

Kata Zaliha, kerajaan tetap berusaha supaya kes-kes kecemasan dan yang perlu diintervensi segera diberi keutamaan ketika Laporan Audit Negara tahun 2018 menunjukkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital sektor awam berpunca daripada kekurangan kakitangan, kehadiran pesakit yang tinggi, kekurangan pembiayaan dan tidak mempunyai peralatan mencukupi untuk menyediakan tahap penjagaan sewajarnya.

“Kekangan ini termasuk klinik dan hospital. Data terkini Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa masa menunggu untuk mendapatkan rawatan seperti pembedahan kardiotorasik, pembedahan katarak, pembedahan neuro dan lain-lain boleh mengambil masa sehingga tiga hingga 15 bulan,” katanya. 

Katanya, pembiayaan kesihatan dan peruntukan di bawah pengurusan sektor awam masih di tahap rendah dan jumlah perbelanjaan kesihatan awam pada 2020 ialah 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

“Perbelanjaan kesihatan awam yang rendah sekian lama mengakibatkan kekangan kepada kerajaan untuk memenuhi keperluan sumber manusia, infrastruktur dan peralatan termasuk mengoptimumkan semua sumber kesihatan negara secara kos efektif dan efisien.

“Sebaliknya, tahap perbelanjaan duit poket sendiri rakyat Malaysia adalah tinggi, iaitu 34 peratus berbanding dengan negara setara seperti Thailand dan Turkiye yang masing-masing hanya 9 peratus dan 17 peratus,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya