Pahang bayar zakat fitrah guna platform ‘Kod QR’ tahun depan - Utusan Malaysia

Pahang bayar zakat fitrah guna platform ‘Kod QR’ tahun depan

ASMADI Abdul Rahman (kiri) menyampaikan Anugerah Khidmat Setia Amil Negeri Pahang kepada antara amil yang paling lama berkhidmat iaitu Abdul Rahman Mat Jid berusia 90 tahun dari Kuala Lipis di Kuantan, Pahang. - FOTO/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bercadang memulakan pembayaran zakat fitrah menggunakan platform ‘Kod QR’ bermula tahun depan bagi menjamin keselamatan duit kutipan zakat tersebut.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitulmal dan Operasi Muip, Dr. Asmadi Abdul Rahman berkata, seramai 934 orang amil bertauliah yang dilantik akan diberikan taklimat dan latihan dalam usaha melancarkan hasrat tersebut.

“Pihak kami cuba untuk menggunakan Kod QR ini supaya keselamatan duit kutipan zakat mereka itu lebih terjamin. Sebelum ini pun tidak timbul masalah dengan duit dalam pegangan mereka … tidak ada pun kita terima laporan berkaitan kehilangan atau sebagainya.

“Kita bercadang untuk meningkatkan dan menambah cara pembayaran oleh kerana merasakan perlu mengikut peredaran zaman dan kebanyakan di tempat lain sudah pun menggunakan cara ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Khidmat Setia Amil Negeri Pahang di sini.

Mengulas lanjut, Dr Asmadi berkata, amil di negeri ini juga akan diperluaskan peranannya dalam membantu Muip termasuk bagi mengenal pasti golongan fakir miskin supaya tidak ada keciciran dalam menerima bantuan.

Sementara itu, seorang amil, Abdul Rahman Mat Jid yang berkhidmat sejak 1970 berkata, dia tekad untuk terus menjadi seorang amil walaupun usianya kini sudah menginjak 90 tahun.

“Jika dulu saya akan berjalan kaki masuk ke kampung-kampung di dalam kawasan Teluk Gunung, Kubang Rusa dan dua atau tiga lagi kampung berdekatan di kawasan daerah Merapoh, dekat Lipis. Namun sekarang, dalam keadaan yang semakin tua, saya hanya menunggu mereka di rumah jika ada yang ingin membayar zakat fitrah ini.

“Saya sukakan kerja ini, ia bukan kerana ingin mendapat upah tetapi perkerjaan ini kita kerja ikhlas kerana Allah SWT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya