KOTA BHARU: Kemeriahan sambutan Aidiadha esok semakin dirasai apabila rakyat Kelantan termasuk anak perantauan yang pulang ke kampung halaman masing-masing dilihat mulai sibuk membuat persiapan itu hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Khadijah di sini mendapati lokasi itu mulai sesak seawal pukul 7.30 pagi selepas diserbu orang ramai untuk mendapatkan barangan basah dan keperluan harian lain bagi menyambut lebaran.
Selain itu, ada juga sebahagian orang ramai sibuk membeli pisau lapah dan golok yang akan digunakan untuk kerja-kerja melapah daging serta memotong tulang semasa ibadah korban.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang Mohd. Asraf Mohd. Arif, 22, berkata, sebanyak 2,000 ekor ayam segar yang dijualnya licin dalam tempoh kurang empat jam.
Menurutnya, jumlah tersebut meningkat sekali ganda berbanding jualan hari biasa itu sebanyak 900 ekor sahaja.
“Saya menjualnya pada RM9 sekilogram (s/kg) dan lebih rendah daripada harga siling iaitu RM9.40 (s/kg). Setiap kali musim perayaan permintaan ayam segar akan meningkat kerana menjadi salah satu pilihan untuk hidangan rendang selain daging lembu,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga sayur, Meena, 43, memberitahu, harga beberapa jenis sayur-sayuran berada dalam stabil dan tiada kenaikan berlaku kecuali tomato.
Katanya, sayur sawi kekal dijual dengan harga RM5 (s/kg) berbanding sebulan lalu dijual RM7 (s/kg).
“Begitu juga kubis dijual RM3 (s/kg) berbanding sebelum ini RM4-RM5 (s/kg). Sejak dua hari lepas harga tomato naik kepada RM7 (s/kg) berbanding RM4-RM5 (s/kg),” ujarnya-UTUSAN